Minggu ini, penulis ingin berkongsi pengalaman bagaimana pendidikan formal memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran kreatif pelajar dalam bidang seni dan media-fotografi.
Sebagai seorang pendidik dalam bidang fotomedia kreatif, melihat perkembangan pelajar daripada seorang jurufoto teknikal kepada seorang visualiser dan pengarah seni adalah suatu perjalanan yang mengagumkan.
Pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga membimbing mereka untuk berfikir di luar kebiasaan, mengasah daya imaginasi dan menghasilkan karya yang bukan sahaja estetika tetapi juga bermakna.
Pendidikan formal dalam bidang seni dan media bukan sekadar platform pembelajaran teknikal, tetapi juga pemangkin dalam membentuk pemikiran kritis dan kreatif.

Dalam konteks program Ijazah Sarjana Muda Fotomedia Kreatif di Universiti Teknologi Mara (UiTM), pelajar tidak hanya dididik sebagai jurufoto teknikal, tetapi juga dilatih untuk berkembang menjadi seorang visualiser dan pengarah seni yang mampu menerajui industri kreatif dengan perspektif yang lebih luas.
Bukti nyata kepentingan pendidikan formal dalam bidang kreatif dapat dilihat melalui pameran projek ijazah pelajar tahun akhir Fotomedia Kreatif, UiTM, bertajuk Kita Expose.
Pameran ini berlangsung dari 7 hingga 9 Februari lalu, di Galeri 1 dan 2, Kompleks Alam Bina, UiTM Puncak Alam.

Pameran ini bukan sekadar platform untuk menampilkan hasil karya, tetapi juga menjadi medan ujian bagi pelajar dalam menerapkan pemikiran visual, daya kreativiti dan kemahiran konseptual dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja estetik tetapi juga berwacana.
Melalui pameran ini, para pelajar berpeluang berinteraksi dengan pemain industri, mendapatkan maklum balas secara langsung dan memahami kehendak pasaran sebenar.
Ini membuktikan bahawa pendidikan formal bukan hanya tentang penguasaan teknik tetapi juga tentang membina pemikiran kritis, keyakinan diri serta kebolehan untuk menyesuaikan diri dalam industri yang sentiasa berkembang.

Sebagai pendidik, melihat bagaimana pelajar berkembang dari hanya memahami konsep teknikal kepada mampu menghasilkan karya yang mempunyai naratif mendalam adalah satu kepuasan.
Pendidikan formal bukan sekadar membentuk kemahiran, tetapi juga mencipta generasi baharu pemikir visual yang mampu memberi impak kepada dunia seni dan media.
-Penulis merupakan bekas jurufoto Utusan Malaysia dan kini sebagai Koordinator Bidang di Jabatan Fotomedia Kreatif, Kolej Pengajian Seni Kreatif – KPSK, UiTM











