NEW YORK: Pelakon terkenal, Michelle Trachtenberg yang mula mencipta nama sebagai bintang kanak-kanak dalam filem Harriet the Spy, disahkan meninggal dunia pada usia 39 tahun, lapor Jabatan Polis New York.
Menurut jurucakap Jabatan Polis New York (NYPD), pihaknya menerima panggilan kecemasan 911 pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) Rabu lalu, sebelum menemui seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah apartmen di Manhattan.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian wanita tersebut yang kemudian dikenal pasti sebagai Trachtenberg.
“Tiada unsur jenayah disyaki dalam kes ini dan siasatan masih dijalankan,” kata kenyataan NYPD.
Punca kematian rasmi akan dikeluarkan oleh Pejabat Pemeriksa Perubatan.
Menurut sumber NYPD kepada CNN, Trachtenberg dilaporkan mengalami masalah kesihatan baru-baru ini dan kematiannya dipercayai berpunca daripada sebab semula jadi tanpa sebarang unsur mencurigakan.
“Keluarga memohon privasi di atas kehilangan ini. Tiada butiran lanjut buat masa ini,” ujar wakil keluarga Trachtenberg.
Trachtenberg yang dikenali dengan sifat ceria dan bakat komedi semula jadi mula mencuri perhatian menerusi siri The Adventures of Pete & Pete di saluran Nickelodeon pada tahun 1990-an sebelum kemudiannya membintangi filem pertama terbitan Nickelodeon, Harriet the Spy pada tahun 1996.
Beliau juga pernah membuat penampilan dalam beberapa siri popular lain termasuk House, Law & Order: Criminal Intent dan Sleepy Hollow.
Penampilan terakhirnya adalah menerusi dua episod dalam kesinambungan siri Gossip Girl yang disiarkan di platform Max. -AGENSI











