Trump ancam kenakan tarif 25 peratus ke atas EU

Trump ancam kenakan tarif 25 peratus ke atas EU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan akan mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari Kesatuan Eropah (EU), dengan mendakwa blok tersebut ditubuhkan untuk ‘menindas’ negaranya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berucap dalam mesyuarat pertama Kabinet tahun ini, Trump menegaskan keputusan itu sudah dibuat dan bakal diumumkan dalam masa terdekat.

“Ia akan menjadi 25 peratus secara umum, termasuk kereta dan pelbagai barangan lain,” katanya kepada pemberita.

Trump turut mendakwa AS menerima layanan tidak adil dalam perdagangan.

Katanya, EU enggan menerima produk automotif dan pertanian dari AS, manakala AS pula mengambil segala-galanya dari mereka.

Ketika ini, EU mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas import kenderaan dari AS, empat kali ganda lebih tinggi berbanding kadar yang dikenakan Washington ke atas import kereta penumpang dari Eropah.

Namun, AS mengenakan tarif 25 peratus ke atas trak pikap yang diimport.

“Terus terang, EU ditubuhkan untuk menindas AS. Itulah tujuannya, dan mereka telah berjaya melakukannya,” kata Trump.

Kenyataan Trump menerima reaksi pantas daripada Suruhanjaya Eropah (EC) yang menyifatkan pasaran tunggal terbesar di dunia itu memberi manfaat besar kepada AS.

“EU akan bertindak tegas dan segera terhadap sebarang halangan tidak wajar kepada perdagangan bebas dan adil, termasuk penggunaan tarif untuk mencabar dasar yang sah dan tidak diskriminasi,” kata jurucakap suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

Tindakan terbaharu Trump ini dijangka meningkatkan ketegangan antara Washington dan Brussels susulan pendekatan ‘America First’ yang diamalkan pentadbirannya dalam hal ehwal antarabangsa.

Selain isu perdagangan, komitmen Trump terhadap keselamatan Eropah dan masa depan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut menimbulkan kebimbangan, terutama selepas pendekatan mesranya dengan Presiden Russia, Vladimir Putin dan kritikan terhadap Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN