PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Zainal Abidin Hassan mahu memastikan bola sepak tempatan kembali diwarnai pemain-pemain dari pelbagai kaum selain Melayu.
Begitupun, tegas beliau, perkara utama ketika ini adalah memastikan pertandingan tempatan memiliki asas kukuh sekali gus mampu memberi keyakinan kepada semua golongan untuk turut serta dalam sukan bola sepak.
“Pembangunan cukup penting dan kita mahu perkemaskan lagi supaya ia dapat berjalan lancar dan melahirkan lebih ramai pemain. Saya ambil contoh zaman saya, ramai pemain lahir daripada belia dan akademi, jadi bagi saya perkara itu sesuatu yang sihat.
“Bola sepak diminati ramai orang, jadi sekarang tugas kita mencari dan cungkil namun kita kena buat perjalanan bola sepak itu teratur. Apabila sudah teratur, mungkin lagi ramai orang nak bermain bola sepak sekaligus memudahkan kita cari bakat baharu.
“Mungkin padang terhad (hingga jejaskan minat kaum selain Melayu), jadi sebab itu saya cakap kita kena susun sehabis baik supaya dapat menarik minat orang untuk bermain bola sepak. Apabila adanya pertandingan yang baik, daripada situ kita akan dapatkan pemain,” katanya.
Zainal turut mengakui gembira kerana diberikan tanggungjawab yang ada hubungkait dengan rakan baiknya, Datuk Dollah Salleh yang menggalas tugasan selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan.
“Sudah pasti kami boleh bergabung untuk bantu bola sepak negara tetapi untuk saya, bukan saya mahu bekerja dengan Dollah sahaja tetapi dengan semua orang demi peningkatan bola sepak negara. Pada mesyuarat selepas ini, kita boleh panjangkan apa yang mahu dilakukan,” ujarnya. – UTUSAN











