‘Meal prepping’ bantu sahur lebih berkhasiat

‘Meal prepping’ bantu sahur lebih berkhasiat

MAKANLAH secara bersederhana semasa berbuka puasa dan sahur di bulan Ramadan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali menjelang Ramadan, cabaran utama yang sering dibincangkan adalah kesukaran untuk bangun sahur, terutama bagi individu yang sibuk dan menetap di kawasan bandar.

Gaya hidup moden yang serba pantas menyebabkan ramai mengabaikan kepentingan bersahur atau sekadar mengambil makanan segera dan minuman manis yang kurang berkhasiat.

Kesannya, mereka mudah berasa letih, lesu dan kurang fokus sepanjang berpuasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, terdapat satu solusi praktikal yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat urban iaitu meal prepping atau penyediaan makanan lebih awal.

Konsep ini bukan sahaja menjimatkan masa tetapi dapat memastikan makanan sahur lebih seimbang, sihat dan mudah disediakan.

Dengan sedikit perancangan, kita dapat menikmati hidangan sahur yang lengkap tanpa perlu tergesa-gesa di waktu dinihari.

Konsep ini semakin relevan berikutan peningkatan kos sara hidup serta kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemakanan sihat.

Ramadan pula sering dikaitkan dengan pembaziran makanan yang lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain.

Amalan meal prepping bukan sahaja dapat menjimatkan kos perbelanjaan dapur, malah dapat mengelakkan pembaziran makanan yang sering berlaku akibat lebihan makanan sahur dan berbuka.

Menurut Laporan Statistik Harga Barang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), harga barang keperluan asas seperti beras, ayam, dan sayur-sayuran menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Selain itu, laporan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (SWCorp) menunjukkan bahawa Malaysia membuang hampir 17,000 tan sisa makanan setiap hari, di mana 60 peratus daripadanya masih boleh dimakan.

 

Kekal nutrisi
Salah satu kebimbangan utama dalam penyediaan awal makanan adalah kemungkinan kehilangan nutrisi akibat penyimpanan dan pemanasan berulang.

Bagi memastikan makanan sahur kekal berkhasiat, beberapa kaedah penyimpanan boleh diamalkan.

Pertama, penggunaan bekas bertutup kedap udara adalah penting kerana ia membantu mengekalkan kesegaran makanan dan mengelakkan pencemaran bau daripada makanan lain di dalam peti sejuk.

Kedua, setiap makanan yang disediakan lebih awal perlu dilabel dengan tarikh penyediaan untuk memastikan ia dimakan dalam tempoh yang sesuai.

Akhir sekali, pemanasan makanan dengan kaedah yang betul, seperti menggunakan ketuhar gelombang mikro dengan mod reheat atau teknik steam dapat membantu mengekalkan kelembapan makanan dan mengurangkan kehilangan nutrien.

Dengan mengamalkan teknik penyimpanan dan pemanasan yang tepat, kualiti serta khasiat makanan sahur yang disediakan lebih awal dapat dipelihara.

Bagi individu yang benar-benar kesuntukan masa, menu sahur yang mudah disediakan, namun tetap berkhasiat adalah pilihan terbaik.

Pertama, overnight oats yang terdiri daripada oat segera direndam bersama susu segar atau susu tumbuhan, dicampur dengan buah-buahan seperti pisang atau beri biru serta sedikit madu.

Ia hanya perlu disimpan dalam peti sejuk dan terus dimakan pada waktu sahur tanpa perlu dipanaskan.

Kedua, wrap telur dan ayam yang menggabungkan telur dadar bersama kepingan ayam panggang, salad, dan keju.

Ia boleh disediakan lebih awal dan disimpan dalam peti sejuk.

Ketika sahur, hanya perlu dipanaskan sebentar sebelum dimakan.

Ketiga, bubur nasi segera di mana nasi yang telah dimasak dibahagikan kepada beberapa bahagian kecil dan disimpan dalam peti sejuk.

Ketika sahur, ia perlu dicampurkan dengan air panas dan ditambah dengan ayam carik, ikan bilis, lobak masin atau telur rebus untuk memberikan rasa yang lebih enak.

 

Kebimbangan obesiti
Selain itu, terdapat kebimbangan mengenai peningkatan kadar obesiti dan penyakit lain yang berkaitan pemakanan di kalangan rakyat Malaysia.

Kebiasaan mengambil makanan segera atau bergoreng semasa sahur yang boleh menyumbang kepada masalah ini.

Oleh itu, kaedah ini menawarkan alternatif yang lebih praktikal, mudah dan sihat.

Lebih penting lagi, konsep ini menyediakan penyelesaian kepada masalah pemakanan yang tidak seimbang semasa sahur, yang sering diabaikan oleh mereka yang bergantung kepada makanan segera atau pilihan yang kurang berkhasiat.

Selain itu, meal prepping juga menyokong amalan pemakanan sihat dengan memastikan setiap hidangan sahur mengandungi nutrien penting seperti protein, serat dan lemak sihat.

Ini penting untuk memastikan individu kekal bertenaga sepanjang berpuasa.

Sebagai kesimpulan, sahur merupakan waktu makan yang penting untuk membekalkan tenaga ketika berpuasa, dan konsep ini adalah pendekatan moden yang praktikal dalam memastikan sahur lebih efisien serta berkhasiat.

Dengan sedikit perancangan, individu yang sibuk masih boleh menikmati sahur yang lengkap tanpa perlu bersusah-payah menyediakan makanan di awal pagi.

Selain itu, ia adalah langkah kecil yang boleh membantu menangani isu pembaziran makanan dan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pemakanan seimbang semasa Ramadan.

Jadi, sudah bersediakah anda untuk mencuba trend sahur moden ini?

Dr. Muhammad Rezza Zainal Abidin ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini