Enam bayi baru lahir terbujur kaku kesejukan di Gaza

Enam bayi baru lahir terbujur kaku kesejukan di Gaza

SEORANG pekerja perubatan mengambil sampel darah bayi pramatang yang terbaring dalam inkubator di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis di selatan Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Enam bayi baru lahir di Gaza meninggal dunia akibat cuaca sejuk yang melanda wilayah perang itu sepanjang minggu lalu.

Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal berkata, jumlah kematian terbaharu itu direkodkan sepanjang minggu sehingga Selasa.

“Akibat gelombang sejuk dan kekurangan pemanasan, kami merekodkan kematian enam bayi baru lahir sepanjang minggu lalu sehingga minggu ini,” katanya kepada AFP.

Pakar meteorologi melaporkan, suhu turun hingga sifar darjah Celsius dalam beberapa hari lalu, ketika gelombang sejuk melanda timur Mediterranean.

Walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hamas meningkatkan jumlah kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, ratusan ribu rakyat Palestin masih berlindung dalam khemah yang serba kekurangan .

Ramai di antara mereka terpaksa berlindung di atas runtuhan rumah yang musnah dan berjuang untuk bertahan dalam keadaan suhu semakin menurun.

Hamas berulang kali menuduh Israel menghalang bahan perlindungan daripada dihantar kepada 2.4 juta penduduk Gaza, kebanyakan mereka dipindahkan sekurang-kurangnya sekali sepanjang perang.

Pejuang menyalahkan kematian enam bayi baru lahir itu dengan tindakan Israel menyekat kemasukan bantuan.

“Kami menyeru pengantara untuk mengambil tindakan segera bagi menghentikan pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh pendudukan, serta memudahkan kemasukan bekalan penting seperti tempat perlindungan, alat pemanasan dan bekalan perubatan ke Gaza.

“Ini sangat penting untuk melindungi kanak-kanak di Gaza,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, keperluan vaksin polio di Gaza kini melebihi jangkaan, ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran tentang kesan pemotongan dana Amerika Syarikat (AS) dan merayu agar pemindahan perubatan dipercepatkan.

Bercakap dari Gaza, wakil WHO di wilayah Palestin, Rik Peeperkorn berkata, virus polio paling kerap merebak melalui kumbahan atau air yang tercemar dan kini sangat cepat berjangkit.

Sejak penyakit itu muncul semula di Gaza buat kali pertama dalam tempoh lebih 20 tahun yang melumpuhkan kanak-kanak berusia 10 bulan Ogos lalu, dua pusingan vaksinasi berlaku pada September dan Oktober 2024.

Ia mencapai lebih daripada 95 peratus kanak-kanak yang disasarkan dengan dua dos vaksin oral yang diperlukan.

Tetapi sampel alam sekitar dari dua tapak, yang dikumpul pada Disember 2024 dan Januari 2025, mendapati virus polio masih beredar.

Kempen vaksin polio baharu menyasarkan 591,000 kanak-kanak bawah 10 tahun bermula pada hari Sabtu lalu. 

Menurut WHO, Hampir 548,000 telah dicapai setakat ini namun usaha pencegahan dan bantuan air bersih diperlukan segera bagi mengelak virus ini terus menular.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×