SYDNEY: Pasangan penumpang dari Australia mengalami pengalaman trauma apabila mereka terpaksa duduk bersebelahan mayat seorang wanita yang meninggal dunia dalam penerbangan Qatar Airways dari Melbourne ke Doha, baru-baru ini.
Mitchell Ring dan Jennifer Colin ketika itu sedang dalam perjalanan ke Venice untuk percutian berkata, wanita berkenaan meninggal dunia di lorong berhampiran tempat duduk mereka.
Menurut mereka, kru kabin kemudian meletakkan mayat wanita itu yang ditutup dengan selimut di sebelah Ring selama kira-kira empat jam sebelum pesawat mendarat, meskipun terdapat tempat duduk kosong di dalam pesawat.
“Kami tidak ditawarkan untuk berpindah tempat duduk walaupun jelas ada ruang kosong di dalam pesawat,” kata Ring kepada program Current Affair di saluran Channel 9 Australia.
Menceritakan detik cemas itu, Ring berkata, kru kabin bertindak pantas sebaik wanita tersebut rebah, namun usaha menyelamatkan nyawanya gagal.
“Sayangnya, wanita itu tidak dapat diselamatkan dan ia cukup menyedihkan untuk disaksikan,” katanya.
Menurut Ring, kru kabin cuba memindahkan mayat wanita berkenaan ke kelas perniagaan tetapi menghadapi kesukaran kerana saiz tubuhnya yang besar.
Bagaimanapun, Ring mendakwa kru tidak menawarkan sebarang pilihan untuknya berpindah ke tempat duduk kosong lain, berbeza dengan pasangannya, Colin, yang dibenarkan beralih tempat duduk.
“Sebaik mendarat, kami diminta kekal di tempat masing-masing sementara petugas perubatan dan polis naik ke pesawat. Saya melihat sendiri wajah wanita itu apabila selimut yang menutupi tubuhnya ditarik,” katanya.
Colin menyifatkan pengalaman itu sebagai sangat mengganggu emosi dan menggesa syarikat penerbangan menyediakan protokol jelas bagi menjaga kebajikan penumpang dalam situasi seumpama itu.
Dalam kenyataan rasmi, Qatar Airways memohon maaf atas sebarang kesulitan atau tekanan yang dialami penumpang dan memaklumkan pihaknya sedang menghubungi individu yang terlibat mengikut prosedur syarikat. – AGENSI











