Sistem pendidikan perlu lebih realistik

Sistem pendidikan perlu lebih realistik

PERUBAHAN dalam sistem pendidikan perlu dilakukan sekiranya ada kajian yang menyeluruh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIGA kategori sekolah diperkenalkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dalam ucapan Majlis Amanat Ketua Pengarah Pendidikan sempena pembukaan sesi persekolahan 2025/2026. Tiga kategori sekolah yang diperkenalkan itu ialah sekolah aspirasi, fokus dan inspirasi.

Sekolah aspirasi merujuk sekolah yang mempunyai prestasi baik namun berada dalam keadaan statik serta perlukan pembaharuan, sokongan dan sentuhan reformasi.

Sekolah fokus pula memerlukan banyak tumpuan, perhatian dan sokongan bagi meningkatkan prestasi. Manakala sekolah inspirasi merujuk sekolah yang mempunyai kecemerlangan pencapaian akademik secara konsisten, mempunyai bidang kecemerlangan dan kepimpinan yang baik serta boleh dijadikan sekolah teladan.

Tiga kategori sekolah ini mempunyai perbezaan yang jelas. Daripada perbezaan kategori ini seakan ada unsur-unsur persaingan dan pertandingan.

Memang setiap buah sekolah itu ada baik dan ada buruknya, tetapi untuk menyatakan sesebuah sekolah itu baik, lemah dan berada pada tahap tertentu adalah tidak tepat. Sebagai sebuah institusi yang dianggotai pelbagai kelompok (guru, murid,kakitangan pentadbiran dan sokongan) yang terdiri daripada berbagai peringkat golongan masyarakat, realiti sebenar sesebuah sekolah adalah pelbagai sifatnya. Mengkategorikan sesebuah sekolah bercanggah dengan prinsip dan asas sosiologi pendidikan.

Tidak mungkin sesebuah sekolah itu mencapai tahap kategori sekolah inspirasi kesemuanya. Untuk mencapainya secara keseluruhan dalam jangka panjang pun bukan satu realiti dalam dunia pendidikan. Dalam sesebuah sekolah itu mesti ada pelajar yang lemah, bijak, separuh bijak dan benar-benar pintar.

Hubungan yang berlaku di antara pelajar pelbagai tahap penting dalam realiti kehidupan. Tidak semua yang lemah akademik itu lemah dalam bidang kemahiran dan sukan. Bahkan kebolehan dalam mata pelajaran yang berbeza juga adalah satu realiti. Tidak semua pelajar yang lemah matematik dan fizik, lemah dalam sejarah atau kesusastraan serta tidak akan berjaya. Jurusan yang berbeza perlu asas utama mata pelajaran yang berbeza.

REFORMASI
Lapan keutamaan reformasi pendidikan juga disentuh dalam ucapan amanat itu. Antaranya adalah menangani isu keciciran murid, mengukuhkan kepimpinan pendidikan, meningkatkan profesionalisme guru, kesejahteraan sekolah, membentuk generasi madani yang holistik, mengukuhkan pencapaian pentaksiran antarabangsa dan mereformasi sekolah untuk kecemerlangan.

Secara kasarnya apa yang dinyatakan dalam lapan keutamaan reformasi oleh Ketua Pengarah ini telah sedia terangkum dalam polisi dan falsafah pendidikan kita selama ini.

Misalnya menangani isu keciciran murid adalah asas utama yang bermula sejak dari awal lagi. Ini adalah persoalan asas bagi sesebuah sekolah menangani keciciran murid. Begitu juga mereformasikan sekolah untuk kecemerlangan merupakan persoalan asas sejak awal lagi.

Kita jangan bermain dengan perkataan reformasi kerana tidak semua reformasi itu bersifat tulen dan akan membawa kebaikan. Kadang-kadang reformasi itu adalah cakupan yang telah sedia ada. Harus juga diingat mengukuhkan apa yang sedia ada juga akan membawa kesan yang baik.

Saya berpendapat banyak isu yang lebih penting dalam pendidikan negara sekarang. Antaranya kenapa ramai guru bersara awal sejak akhir-akhir ini, isu sekolah satu sesi yang belum dapat dipenuhi, nilai dan profesional guru yang mula dipertikaikan, darjah kefahaman dan semangat belajar murid yang menurun serta kegagalan menghadiri peperiksaan utama oleh pelajar dengan jumlah besar yang belum pernah berlaku sebelum ini.

BERSARA AWAL
Sejak akhir-akhir ini peratus dan jumlah guru yang bersara awal sangat besar jumlahnya berbanding dalam tempoh masa sebelum ini. Ini bukan persoalan kecil kerana tidak pernah berlaku sebegini sebelum ini. Alasan masalah peribadi bukan jawapan tepat. Kajian terperinci yang bebas dan terbuka perlu dilakukan bagi mendapat jawapan sebenar kepada sebab utama persaraan awal guru-guru ini.

SEKOLAH SATU SESI
Kita telah lebih 67 tahun mencapai kemerdekaan, tetapi kemudahan fizikal dan pentadbiran kita belum lagi ke arah membentuk sekolah satu sesi. Adakah negara kita terlalu miskin dan tidak mampu membina kemudahan sekolah satu sesi yang penting dalam proses pendidikan sebenar? Banyak kegiatan ‘pendidikan sebenar’ tidak dapat berjalan dengan sempurna melalui proses dua sesi.

Kenapa tidak menyentuh isu sekolah satu sesi sebagai polisi pendidikan jangka panjang yang perlu dicapai dalam reformasi pendidikan yang dirancang?

​NILAI DAN PROFESIONAL GURU
Sejauh manakah benarnya mengambil calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baik dan terus ke Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi program ijazah benar-benar menghasilkan seorang guru yang baik. Adakah sistem seseorang yang ingin menjadi guru perlu melanjutkan diploma pendidikan lepas ijazah (setelah memiliki ijazah) dalam bidang-bidang tertentu) sebelum layak menjadi guru? Adakah semua IPG cukup dari segi bahan bagi pengajian sarjana muda dalam bidang pengkhususan?

Daripada kelulusan pensyarah adalah semuanya memiliki ijazah tinggi yang cukup iaitu sarjana dan ijazah doktor fasafah (PhD) dalam bidang pengkhususan calon guru. Isu ini perlu diangkat bagi membina pendidikan yang lebih baik, bukan hanya mengulangi perkara yang disentuh dalam bentuk baharu yang sedikit berbeza.

Darjah kefahaman dan semangat belajar atau hadiri peperiksaan oleh pelajar perlu dititik beratkan. Ini juga isu besar yang perlu didebatkan oleh kementerian. Adakah semangat belajar generasi kini semakin baik secara relatifnya? Apakah sebab yang membolehkan perkara ini berlaku?

Isu yang sangat penting membabitkan jumlah besar pelajar SPM yang tidak hadir menduduki peperiksaan itu. Ini mempunyai hubungan yang rapat dengan psikologi dan sosiologi pendidikan.

Calon-calon guru, pentadbir dan semua yang terlibat dalam pendidikan perlu faham dengan mendalam bidang psikologi dan sosiologi pendidikan. Bidang itu cakupannya sangat luas dan sangat berguna dalam proses membina serta membangunkan pendidikan. Adakah dua kursus asas pendidikan yang sangat penting ini masih dianggap penting dalam kurikulum pendidikan negara atau kursus picisan yang lebih dititikberatkan?

Apa yang saya nyatakan di atas adalah isu besar yang perlu dilihat bersama semua pihak yang terlibat, bukan menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi ini tanggungjawab bersama.

Runtuh dan rosaknya pendidikan, akan runtuhlah bangsa dan tamadun kita. Pimpinan pendidikan negara terutamanya perlu membuka dada secara benar-benar terbuka melakukan sesuatu kebaikan bagi pendidikan negara.

Dalam beberapa keadaan proses polisi yang lebih bersifat ‘bawah ke atas’ perlu dilakukan bagi membentuk kebaikan dan keseimbangan polisi.

Tiga kategori sekolah yang disentuh dalam ucapan itu perlu lebih bebas dan terbuka. Jangan sekali-kali lakukan sebarang perubahan dan tindakan terburu-buru, tanpa kajian terlebih dahulu, jauh sekali daripada bersifat ‘memaksa’ pelaksanaannya.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felo Penyelidik Kanan, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×