Bersihkan masjid, surau daripada ajaran songsang

Bersihkan masjid, surau daripada ajaran songsang

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah melancarkan buku bertajuk 'Hubungan Antara Pemerintah dan Rakyat Dalam Kerangka Ahli Sunah Waljamaah' dan 'Pengaruh Ahli Sunah Waljamaah Dalam Pembangunan Ummah' hasil karya Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Ipoh, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, masjid dan surau wajib dibersihkan daripada mereka yang menyebarkan dakyah songsang.

Titah baginda, kebelakangan ini semakin diperlihatkan perjalanan tempang dalam kalangan yang merasakan mereka telah bertaraf ilmuwan atau ulama yang menyampaikan dakyah songsang.

“Tazkirah, kuliah dan diskusi agama semakin bertukar kan­dungan dengan selitan bahan cercaan dan fitnah, berkecenderungan memihak atau menentang kabilah politik tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Masjid dan surau yang diba­ngunkan bertujuan sebagai tempat untuk menyatupadukan ummah, semakin dijadikan ge­langgang menyebarkan dakyah dan fitnah,” titah baginda pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, semalam.

Sultan Nazrin bertitah, ba­ginda disembah maklum sudah ada khatib yang memilih tidak mahu membaca teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak yang diperakukan oleh Jabatan Mufti.

Titah baginda, perbuatan sedemikian sudah keterlaluan dan tidak boleh didiamkan.

Baginda bertitah, berdiam diri terhadap perbuatan keterlaluan sebegini, laksana membiarkan barah menular lebih luas yang bakal menimbulkan perpecahan dalam kalangan ummah.

“Khatib yang dikurniakan tauliah bertugas di mimbar, dan individu yang dikurniakan tauliah mengajar agama di masjid dan surau, diperkenankan tauliah lantikan dan mengajar oleh Raja Pemerintah setelah disembah nasihat oleh Jabatan Mufti yang berpuas hati dengan sifat dan watak serta ilmu dan pengetahuan calon-calon yang berkaitan.

“Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti, bersama Orang Besar Jajahan, Jawatankuasa Masjid dan Surau serta ahli kariah hendaklah me­lakukan pemantauan yang rapi, mengenal pasti pihak-pihak yang berselindung di sebalik jubah agama, berjalan tempang dan berperangai songsang,” titah baginda.

Titah baginda, pihak-pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan, sewajarnya melakukan siasatan secara adil dan saksama, meneliti fakta dan kesahihan terhadap perbuatan yang dilaporkan melanggar adab bekerja.

“Penemuan dan apa juga ketetapan yang diputuskan oleh pihak berkuasa kepada mana-mana pihak yang terlibat, setelah selesai melalui proses rayuan, hendaklah diangkat sembah laporannya beserta perakuan untuk pertimbangan Raja Peme­rintah sewajarnya,” titah baginda.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Sultan Nazrin ber­kenan melancarkan dua buku iaitu ‘Hubungan Antara Pemerintah dan Rakyat Dalam Kerangka Ahli Sunah Waljamaah’ dan ‘Pe­ngaruh Ahli Sunah Waljamaah Dalam Pembangunan Ummah’ hasil karya Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.

Baginda turut berkenan mendengar pembentangan kertas kerja utama oleh Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Syeikh Dr. Usamah al-Sayyed Mahmood Muhammad Sa’ad al-Azhari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini