DAMSYIK: Sebuah kubur besar dipercayai mengandungi mayat orang awam yang dibunuh oleh rejim Bashar al-Assad ditemukan di bandar Sbeneh, barat daya Damsyik.
Pasukan Pertahanan Awam Syria menemukan kubur besar tersebut di ruang bawah tanah sebuah bangunan yang pernah digunakan oleh rejim untuk menahan orang awam.
Selepas kejatuhan rejim Bashar, kubur besar terus ditemukan dalam operasi pencarian di seluruh negara.
Anggota Pertahanan Awam, Ammar al-Salmo berkata, pasukan penyelamat memasuki bangunan yang hangus selepas menerima maklumat daripada seorang penduduk.
Penemuan awal menunjukkan mayat 20 individu berjaya dikeluarkan, namun Ammar memberi amaran jumlah itu boleh meningkat sehingga 50 orang.
Beliau berkata, mayat tersebut dibakar menggunakan tayar, selain terdapat kesan tembakan pada beberapa serpihan tulang.
Katanya, antara rangka mayat ditemukan, terdapat juga tulang dipercayai milik kanak-kanak.
Dipercayai masih banyak lagi kubur besar di Syria yang belum ditemukan.
Matlamat utama mengesan kubur tersebut adalah untuk mengenal pasti mayat yang ditemukan dan mengetahui nasib individu yang dilaporkan masih hilang.- ANADOLU










