BERLIN: Pemimpin parti konservatif, Friedrich Merz berjanji untuk berjanji untuk membebaskan Eropah dari cengkaman Amerika Syarikat (AS) selepas pakatannya memenangi pilihan raya Parlimen Jerman semalam.
Merz yang bakal dilantik sebagai Canselor Jerman kini berdepan rundingan kompleks dengan pesaing tradisional parti beliau dari golongan berhaluan kiri untuk membentuk kerajaan gabungan selepas menolak penyertaan parti sayap kanan, Alternative for Germany (AfD).
Merz dalam ucapan kemenangannya berkata, keutamaannya kini adalah memperkukuhkan Eropah supaya benua itu tidak perlu bergantung kepada Washington untuk pertahanannya.
“Saya tidak pernah terfikir bahawa saya perlu mengatakan sesuatu seperti ini dalam program televisyen.
“Tetapi selepas kenyataan terbaharu Presiden AS, Donald Trump minggu lalu, jelas bahawa AS atau sekurang-kurangnya sebahagian daripada mereka tidak mengambil berat tentang nasib Eropah.
“Saya juga tidak pasti sama ada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan wujud dalam bentuknya sekarang menjelang mesyuarat seterusnya pada bulan Jun, atau sama ada kita perlu menubuhkan keupayaan pertahanan Eropah yang bebas dengan lebih cepat.
“Itulah keutamaan mutlak saya, saya tidak dapat meramalkan ilusi apa yang akan datang dari AS,” kata Merz dalam perbincangan pemimpin politik yang disiarkan secara langsung.
Beliau turut mengkritik hartawan teknologi, Elon Musk yang juga sekutu rapat Trump kerana campur tangannya dalam kempen pilihan raya untuk menyokong AfD walaupun parti itu memperoleh keputusan terbaik dalam sejarah pada pilihan raya peringkat kebangsaan.
“Campur tangan dari Washington tidak kurang dramatik dan tidak sopan berbanding campur tangan yang kita lihat dari Moscow, jadi kita berada di bawah tekanan besar dari dua arah,” kata Merz.
Gabungan Kesatuan Demokratik Kristian-Kesatuan Sosial Kristian (CDU/CSU) pimpinan Merz memenangi 208 kerusi dengan 28.6 peratus undian dalam pilihan raya pada Ahad, diikuti oleh AfD dengan 152 kerusi dan 20.8 peratus undian.-AGENSI











