TEL AVIV: Keluarga kepada tebusan yang terbunuh di Gaza, Shiri Bibas, menolak kehadiran mana-mana pegawai pentadbiran Israel pada upacara pengebumian tiga beranak itu.
Pejuang Hamas menyerahkan mayat Shiri dan dua anaknya minggu lalu, di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tahanan dengan tebusan Israel.
Hamas menegaskan, keluarga Bibas terbunuh akibat pengeboman kejam Israel di tengah peperangan rejim terhadap wilayah Gaza.
Menurut laman berita Israel, Walla, keluarga Bibas memberitahu pihak pentadbiran bahawa mereka tidak mahu sebarang wakil rejim itu menghadiri upacara pengebumian berkenaan.
Menteri Dalam Negeri Israel, Moshe Arbel akan mewakili kerajaan di majlis pengebumian seorang lagi tebusan yang terbunuh, Oded Lifshitz yang dijadualkan berlangsung pada Selasa.
Jumaat lalu, keluarga Bibas menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengabaikan tebusan sepanjang perang di Gaza dan gagal membawa mereka pulang dalam keadaan hidup.
Forum Tebusan dan Keluarga Hilang berkata, keluarga Bibas belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai keadaan sebenar kematian mereka.
Perjanjian gencatan Gaza berkuat kuasa bulan lalu, menghentikan perang Israel yang sudah meragut lebih 48,300 nyawa serta meninggalkan wilayah dalam kemusnahan.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, ekoran jenayah perang dan kemanusiannya di Gaza.- AGENSI










