PETALING JAYA: Malaysia berpeluang memperoleh manfaat diplomatik dan ekonomi yang ketara sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, kata TA Securites Holdings Bhd.
Ketua Penyelidiknya, Kaladher Govindan berkata, dengan mengemudi agenda itu, Malaysia boleh meningkatkan pengaruhnya di Asia Tenggara, menggalakkan kerjasama yang lebih kukuh dalam kalangan anggota ASEAN dan mengukuhkan hubungan dua hala dengan rakan kongsi luar.
Katanya, peranan kepimpinan ini membolehkan Malaysia memperjuangkan inisiatif yang memanfaatkan ekonominya sendiri, seperti meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, pelaburan dan kerjasama dalam sektor utama seperti ekonomi digital dan kemampanan.
“Selain itu, Malaysia boleh memanfaatkan usaha kolektif ASEAN untuk menarik pelaburan, terutamanya dalam bidang seperti tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan infrastruktur.
“Peranan itu juga menyediakan Malaysia dengan platform untuk menyokong dasar yang menggalakkan keterangkuman, mengurangkan jurang pendapatan dan memupuk kestabilan serantau,” katanya dalam nota penyelidikan.
Tambahnya, sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia berpeluang meningkatkan kedudukan serantau, memacu integrasi ekonomi dan memperjuangkan inisiatif utama seperti Grid Kuasa ASEAN (APG) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).
Jelasnya, Malaysia akan berusaha ke arah memupuk keterangkuman, kemampanan dan perdagangan serantau yang lebih besar sambil meletakkan ASEAN untuk pertumbuhan masa depan.
“Selain itu, kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN meningkatkan kedudukan globalnya, membolehkannya terlibat dengan kuasa global utama seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Kesatuan Eropah (EU).
“Dengan menangani keselamatan kritikal dan cabaran serantau, Malaysia boleh meningkatkan reputasinya sebagai broker keamanan dan suara yang berpengaruh dalam hal ehwal global.
‘“Tambahan pula, jawatan pengerusi menawarkan peluang kepada Malaysia untuk melaksanakan pembaharuan domestik sejajar dengan matlamat jangka panjang ASEAN sambil mempromosikan keutamaan negara.
“Akhirnya, peranan itu membolehkan Malaysia mempamerkan komitmennya terhadap kemampanan, inovasi dan kerjasama serantau, mengukuhkan kepimpinannya di Asia Tenggara,” ujarnya.
Kaladher Govindan berkata, industri pelancongan Malaysia bersedia untuk mendapat manfaat yang ketara daripada Kepengerusian ASEAN dengan meningkatkan keterlihatan serantau dan global.
Jelasnya, sebagai pengerusi, Malaysia akan menganjurkan acara, sidang kemuncak dan mesyuarat ASEAN berprofil tinggi, menarik gabungan pengembara perniagaan dan percutian, dengan lebih 300 mesyuarat dan program dijadualkan sepanjang tahun.
“Dalam pada itu, Malaysia menerajui pelaksanaan visa tunggal untuk pelancong, cadangan yang pertama kali diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin pada 2024.
“Inisiatif ini bertujuan untuk memudahkan perjalanan merentasi enam negara ASEAN di tanah besar Thailand, Vietnam, Malaysia, Laos, Kemboja dan Myanmar dengan menawarkan sistem visa bersatu yang serupa dengan visa Schengen Kesatuan Eropah.
“Visa inimembolehkan pelancong tinggal sehingga 90 hari dan melakukan perjalanan dengan bebas merentasi sempadan,” jelasnya.
Tambahnya, inisiatif ini dijangka meningkatkan daya tarikan pelancongan ASEAN dan menyelaraskan perjalanan antara wilayah dengan ketara.
“Kami mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 Malaysia sebanyak 4.8 peratus hingga 5.3 peratus, dengan unjuran eksport bersih sebanyak RM60.89 bilion,” katanya.-UTUSAN










