SPP: Memperbetul persepsi publik - Utusan Malaysia

SPP: Memperbetul persepsi publik

Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara berkuat kuasa semalam menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador. – ihsan The Star
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah prosedur kenaikan pangkat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM). Untuk kenaikan satu bintang (SAC) ke atas sahaja perlu ada tapisan ketat.

Penama-penama mesti melepasi syaratnya. Bukan juga mudah-mudah untuk menteri membuat pelantikan. Dalam PDRM contohnya, ada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Walaupun Ketua Polis Negara (KPN) dan ahli-ahli SPP dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, kedudukan SPP lebih tinggi. Benar, KPN diangkat ke jawatannya menerusi watikah pelantikan jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong. Tetapi kedudukan suruhanjaya lebih tinggi kerana keputusan dibuat dalam majlis SPP berbanding seorang individu.

Bila mana bercakap pasal kontroversi membabitkan KPN yang melemparkan kritikan pedas terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kita boleh imbau sebentar ‘keanehan’ semasa Hamid masuk PDRM selaku Pengarah Cawangan Khas pada 2018, disusuli sebagai Ketua Polis Negara pada Mei 2019. Adakah beliau melalui tapisan-tapisan ditetapkan oleh SPP? Janganlah seperti ibarat ayam jantan berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.

Meneliti sidang akhbar hari-hari terakhir Hamid memegang jawatan tersebut di Bukit Aman, Jumaat lalu, kita berasa pelik dengan mukadimah Hamid yang selain mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri atas pelantikannya sebagai KPN, tetapi yang hairannya turut berkata, “penghargaan kepada orang ramai yang bersusah payah melobi penyambungan kontrak saya.” Apa motif Hamid pasal ‘penyambungan kontrak?’ Bahkan, tidak ada langsung ungkapan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri.

Dalam aspek ini, PDRM dan SPP tidak boleh diasingkan. Bukanlah kerana pengerusinya orang politik atau tidak, tetapi Hamid sepatutnya menghormati institusi SPP itu sendiri. Dari segi integriti SPP, ia sudah cukup molek – suatu badan bebas yang menentukan kenaikan pangkat. Selaku KPN, Hamid tidak ada kuasa mutlak untuk menaik pangkat seseorang.

Ini kerana perkara ini bukan sahaja berlaku dalam PDRM tetapi perkhidmatan awam. Dalam kenaikan pangkat pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) juga ada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang menentukan urusan ini. Dalam tentera, ada Majlis Angkatan Tentera (MAT).

Kita boleh meneliti keanggotaan SPP dan MAT berikut:

Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) termaktub dalam Perkara 140(3) Perlembagaan Persekutuan
Keanggotaan:
l Pengerusi (Menteri Dalam Negeri).
l KPN.
l Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.
l Seorang anggota SPA.
l Dua hingga enam orang anggota lain yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Keanggotaan
l Menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga polis, hendaklah menjadi Pengerusi.
l Pegawai polis yang memerintah secara menyeluruh pasukan polis.
l Orang yang melaksanakan tugas jawatan Ketua Setiausaha kementerian di bawah Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi polis.
l Seorang anggota SPA yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
l Tidak kurang daripada dua orang tetapi tidak lebih daripada enam orang anggota lain, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Fungsi/Tugas:
1. Memberi cadangan dalam pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran ahli-ahli pasukan polis.
2. Mengesahkan dan memasukkan jawatan pegawai polis ke jawatan tetap.
3. Melaksanakan tatatertib.

Majlis Angkatan Tentera (MAT)
l Keanggotaan MAT ditubuhkan di bawah Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan dan mempunyai kuasa ke atas semua anggota tentera.

Keanggotaan
l Menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal-ehwal pertahanan, yang hendaklah menjadi Pengerusi.
l Seorang anggota yang mewakili raja-raja hendaklah dilantik oleh Majlis Raja-Raja.
l Panglima Angkatan Tentera yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
l Seorang anggota preman, iaitu orang yang melaksanakan tugas jawatan Ketua Setiausaha Pertahanan, yang hendaklah bertindak sebagai Setiausaha MAT.
l Dua orang pegawai turus kanan Angkatan Tentera Malaysia yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong; seorang pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia yang dilantik oleh Seri Paduka.

Fungsi/Tugas:
1. Memberi cadangan dalam pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran ahli-ahli pasukan tentera.
2. Mengesahkan dan memasukkan jawatan pegawai tentera ke jawatan tetap.
3. Melaksanakan tatatertib.

Jadi, tidakkah sesuatu yang janggal dan bias sekiranya untuk kenaikan pangkat PTD, Ketua Setiausaha Negara pula mempunyai kuasa mutlak berbuat demikian? Padahal SPA, MAT malah SPP yang merupakan pelantikan Yang di-Pertuang Agong adalah satu badan bebas, profesional dan tidak mempunyai sebarang kepentingan.

Adakah kita atau sekali pun Hamid mahu mempertikaikan kuasa Seri Paduka dalam bab ini? Adakah berlaku kekhilafan di pihak Seri Paduka sehingga dipersoalkan integriti kenaikan pangkat ini?

Kepada Hamid, alangkah bagusnya kalau beliau dapat mengesahkan beberapa perkara yang masih bermain-main di fikiran rakyat melibatkan kepentingan mereka seperti kegagalan membawa balik saksi utama kes 1MDB, Jho Low, pelaku utama video tidak bermoral di hotel di Sandakan, kes Adib Bomba dan akuan bersumpah suami Zeti di Singapura.

Hamid Bador jangan cuba menjolok sarang tebuan!

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×