TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertindak menangguhkan pembebasan tahanan Palestin yang dijadualkan semalam di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza.
Beliau mengumumkan tahanan tidak akan dibebaskan jika Hamas tidak menamatkan upacara memalukan yang didakwa diadakan ketika penyerahan tebusan Israel.
Netanyahu menuduh Hamas melakukan pelanggaran berulang, termasuk penggunaan sinis tebusan untuk tujuan propaganda dan upacara yang didakwa merendahkan maruah mereka.
“Memandangkan pelanggaran berulang Hamas termasuk upacara memalukan yang merendahkan tebusan kami dan penggunaan sinis tebusan untuk propaganda, kami telah memutuskan untuk menangguhkan pembebasan tahanan yang dirancang semalam sehingga pembebasan tebusan seterusnya dipastikan, tanpa sebarang acara yang memalukan itu,” kata pejabat Netanyahu dalam satu kenyataan.
Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan di Gaza pada 19 Januari lalu, Hamas sudah membebaskan 25 tebusan Israel dalam upacara yang tersusun rapi, di mana pejuang Hamas menggunakan topeng mengarak tebusan berkenaan di atas pentas, meminta mereka melambai ke arah penduduk Gaza yang berkumpul serta berucap menggunakan mikrofon.
Dalam upacara itu, tebusan diberikan sijil dalam bahasa Ibrani sebagai tanda berakhirnya tempoh penahanan mereka sebelum diserahkan kepada pegawai Palang Merah yang kemudiannya menyerahkan mereka kepada pihak Israel.
Khamis lalu, Hamas turut menyerahkan mayat tiga tebusan dalam keranda ketika upacara serupa yang mendapat kecaman meluas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Hamas menolak gesaan berulang kali oleh Palang Merah supaya tebusan dibebaskan secara tertutup.
Semalam, Hamas membebaskan enam tebusan Israel sebagai sebahagian daripada pertukaran tebusan-banduan ketujuh yang dijadualkan di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang rapuh.
Dua tebusan Israel, Tal Shoham dan Avera Mengistu dibebaskan dalam satu upacara di bandar Rafah di selatan Gaza.
Acara pembebasan Eliya Cohen, Omer Shem Tov dan Omer Wenkert diadakan beberapa jam kemudian di Nuseirat di tengah Gaza.
Pembebasan Hisham al-Sayed telah dijalankan secara tertutup di Gaza City.
Sebagai balasan, Israel berjanji membebaskan lebih 600 tawanan Palestin namun pada awal pagi ini rejim itu memaklumkan menangguhkan pertukaran itu sehingga Hamas memberi jaminan mengenai cara pembebasan tebusan seterusnya.-AFP










