Si cilik penjinak kerbau

Kasih Che Tam pada kerbau

KISAH istimewa antara Nurul Afina Aqila Azman atau Che Tam sejak usia tiga tahun dengan kerbau peliharaannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sejak kecil, Nurul Afina Aqila Azman sudah biasa dengan kehadiran kerbau, malah seawal usia tiga tahun lagi, kanak-kanak berusia 11 tahun itu berani bermain dengan haiwan tersebut tanpa rasa takut meskipun saiznya jauh lebih besar.

Di kala kanak-kanak lain seusianya leka bermain gajet dan menonton rancangan kartun di televisyen, namun tidak bagi Nurul Afina Aqila atau mesra dipanggil Che Tam yang lebih gemar menghabiskan masa bersama haiwan berkenaan.

Langsung tidak kekok, malah si kecil berkenaan nampaknya begitu manja dan seakan-akan mempunyai ‘pertalian’ cukup istimewa dengan haiwan tersebut terutama kerbau kesayangannya yang diberikan nama Bantut.

Che Tam dilihat begitu lincah dan tidak kekok mengendalikan kira-kira 30 ekor kerbau seperti penggembala berpengalaman di kandang keluarga di ladang kelapa sawit Felda Lepar Hilir 2, Gambang di sini.

Keakraban kanak-kanak perempuan itu bersama kerbau belaan keluarganya terutama Bantut terserlah apabila ia boleh diibaratkan ‘bagai isi dengan kuku’.

Ketika ditemui Mingguan Malaysia, Che Tam berkata, sejak mula bermain dengan kerbau ketika usianya tiga tahun, dia langsung tidak takut dengan haiwan bersaiz besar berkenaan.

Katanya, dia sudah terbiasa mengikut bapanya, Azman Umar, 34, ke kandang kerbau keluarganya menyebabkan hubungan dengan haiwan berkenaan begitu rapat dan akrab.

Malah, ketika mengikuti Che Tam ke kandang kerbau itu, haiwan berkenaan umpama taat dan mendengar kata serta menurut segala arahannya lantas memudahkan sesi bergambar.

“Saya memang tidak takut bermanja dengan haiwan ini yang dianggap sahabat baik saya.

“Mungkin sebab saya dah biasa dengan kerbau di sini sejak kecil jadi haiwan ini kenal tuan dan mendengar kata. Paling mendengar kata kerbau kesayangan saya, Bantut,” katanya yang memaklumkan kerbau lain di situ turut diberikan nama antaranya, Atan, Sapi, Pijan, Bolam.

Che Tam berkata, dia juga tidak takut bermain bersama, tidur belakang kerbau, mendandan ekor, memandikan dan memberi makan kerana hubungannya begitu rapat selain turut menganggap haiwan itu seperti ‘sahabat karib’.

“Saya memang mesra dengan kerbau di sini, tetapi yang paling rapat adalah dengan Bantut, kerbau dibeli oleh datuk dan dihadiahkan kepada saya. Memang betul-betul sayang Bantut.

“Saya panggil sahaja memang Bantut terus datang,  Bantut begitu istimewa di sini,” katanya.

SELIPAR di tanduk Bantut menjadi tanda keakraban Che Tam dengan kerbau kesayangannya itu.

SERING DITANYA KAWAN SEKOLAH, GURU

Kisah mesra Che Tam dengan kerbau turut diketahui rakan-rakan kanak-kanak itu di Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Felda Lepar Hilir 2 dan guru-guru di sekolah berkenaan.

Katanya, dia sering ditanya oleh rakan-rakan dan guru-guru sekolah tentang kebolehannya bermain dan menunggang kerbau.

“Soalan yang sering ditanya, tidak takutkah bermain dengan kerbau? Saya jawab tidak sebaliknya saya seronok.

“Rakan-rakan di sekolah juga tidak pernah mengejek dengan minat saya sebaliknya mereka hairan bagaimana saya boleh menjinakkan kerbau. Guru-guru pun tiada menghalang cuma mereka minta saya supaya sentiasa berhati-hati,” katanya yang bercita-cita menjadi anggota polis.

KELUARGA BERI GALAKAN BUAT CHE TAM

Sementara itu, Azman berkata, dia lebih gembira melihat anak sulungnya gemar meneroka alam sekeliling meskipun berkemungkinan ada pihak yang berpandangan sebaliknya.

“Mungkin ada orang fikir kotor, bahaya, tapi saya okay saja, biarlah dia meneroka benda baharu. Lagipun ia dalam pengawasan saya bukan Che Tam dibiarkan seorang diri bermain kerbau.

“Tak ada salahnya kita biarkan anak-anak meneroka sesuatu yang baharu, asalkan tidak membahayakan. Lagipun dekat kampunglah dapat merasa suasana seperti ini.

“Saya gembira daripada kecil lagi dia ada sifat cintakan haiwan dan bagi saya ia patut dipupuk dalam diri setiap anak-anak. Tapi lain ibu bapa lain caranya. Lagi pula bagi saya, ia lebih bagus daripada mendedahkan anak dengan gajet ketika usia mereka kecil,” katanya.

Dia berkata, pada musim cuti sekolah, memang masa anak perempuannya itu banyak dihabiskan di ladang bermain dengan Bantut.

“Ketika musim persekolahan. Che Tam akan ikut saya ke ladang pada waktu petang selepas balik sekolah dan pada Sabtu dan Ahad,” katanya.

IBU bapa Che Tam sentiasa memberi galakkan kepada anak sulungnya yang gemar meneroka alam sekeliling.

SEMINGGU CHE TAM MENANGIS KERBAU DICURI

Bercerita lanjut, beliau yang selesa di panggil Man berkata, kasih dan sayang Che Tam terhadap kerbau bukan sesuatu yang dibuat-buat sebaliknya ia tulus daripada hati anak sulungnya itu.

“Che Tam sebelum ini hilang kerbau kesayangannya yang diberi nama Atan. Kerbau ini dicuri ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu.

“Ketika itu, anak saya setiap hari menangis selama seminggu kerana teringat kepada Atan.

“Sebagai ganti, ayah saya yang juga datuk kepada Che Tam beli Bantut yang ketika dibeli ia seekor kerbau bantut dan lambat membesar, kini Bantut sudah berusia kira-kira empat tahun, sihat dan semakin membesar,” katanya.

‘TRADEMARK’ LETAK SELIPAR DI TANDUK

Menurutnya, setiap kali Che Tam datang bermain dengan Bantut, kanak-kanak perempuan itu pasti akan meletakkan selipar di tanduk haiwan peliharaan kesayangannya.

“Ia seakan-akan sudah menjadi ‘trademark’ atau simbol keakraban buat Che Tam. Bantut pula seakan-akan reda setiap kali selipar diletakkan di kedua-dua tanduknya.

“Ini bukti keakraban antara Che Tam dan Bantut. Memang di kandang ini Bantut istimewa berbanding kerbau lain kerana ia haiwan kesayangan anak sulung kami,” katanya.

Katanya, anak perempuan itu memang suka kepada binatang sejak daripada kecil lagi, jadi tidak hairan jika Che Tam turut disayangi haiwan lain.

“Selain kerbau, anak saya juga bermain dan pelihara haiwan lain seperti kucing, monyet dan anak musang. Lembu pun saya ada. Dia memang cintakan haiwan peliharaan,” katanya.

15 TAHUN BELA KERBAU BALAU, SAPI

Man berkata, memelihara kerbau bukan baharu buatnya kerana sudah lebih 15 tahun dia menceburi bidang itu mewarisi daripada bapanya.

“Di ladang ini ada kira-kira 30 ekor kerbau yang terdiri daripada kerbau balau atau albino dan sapi. Saya bagi haiwan ini makan pelepah kelapa sawit yang saya proses sendiri dan dedak,” katanya.

Katanya, sejak memelihara kerbau, dia dan Che Tam belum pernah lagi dicederakan oleh haiwan berbadan besar tersebut.

“Bagaimanapun kami tetap berhati-hati kerana malang tidak berbau terutama anak perempuan saya. Memang saya sentiasa mengawasinya setiap kali bermain dengan kerbau,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, haiwan merupakan antara makhluk ciptaan Allah SWT yang mempunyai hubungan yang rapat dengan manusia secara langsung atau tidak langsung.

“Kerbau misalnya menjadi peneman, pembantu dan pekerja bagi masyarakat Melayu sejak daripada dahulu lagi,” katanya.-UTUSAN

 

TIDAK seperti kanak-kanak lain, Che Tam menghabiskan masa lapang memelihara kerbau seolah-olah penggembala berpengalaman.

KERBAU DI MALAYSIA

» Kerbau dikenali sebagai kerbau air atau Bubalus Bubalis, merupakan haiwan ternakan yang penting dalam sektor pertanian dan perladangan negara. 

» Kerbau ini berasal dari kawasan Asia Selatan dan Tenggara, di mana mereka telah diternak selama berabad-abad. 

» Terdapat dua jenis utama kerbau di Malaysia, iaitu kerbau sungai dan kerbau paya.

» Habitat semula jadi kerbau ini meliputi kawasan paya, tepi sungai dan padang rumput yang lembap. 

» Kerbau dalam masyarakat Malaysia sangat berkait rapat dengan aktiviti pertanian, digunakan untuk membajak sawah dan mengangkut hasil tanaman.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×