TEL AVIV: Tiga bas kosong di tempat letak kereta di pinggir bandar Tel Aviv, Bat Yam dan Holon dilaporkan meletup pada petang Khamis, namun tiada yang cedera.
Polis dalam satu kenyataan berkata, sebilangan besar pegawai telah dikerahkan ke lokasi letupan dan menjalankan pencarian suspek manakala pakar pemusnah bom sedang meneliti tempat kejadian untuk memastikan tiada alat letupan tambahan atau objek mencurigakan.
Pihak berkuasa juga mengeluarkan gambar dari tempat kejadian tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai punca letupan
Media Israel KAN melaporkan bahawa agensi keselamatan dalaman Shin Bet dan polis sedang menilai sama ada insiden itu adalah serangan yang dirancang.
Menurut media Yedioth Ahronoth, semua laluan tren di Bat Yam telah dihentikan petang Khamis berikutan letupan itu.
Pemandu bas di seluruh Israel juga diarah berhenti dan polis menggeledah kenderaan mereka untuk mencari sebarang objek yang mencurigakan, tambah akhbar itu.
Polis turut menemui dua peranti tidak meletup yang dipasang pada bas di Holon dan Bat Yam, katanya.
Radio Tentera Israel kemudian melaporkan bahawa salah satu peranti yang ditemui di Bat Yam tertulis di atasnya ‘balas dendam untuk kem Tulkarem’.
Saluran 12 Israel kemudian melaporkan bahawa Menteri Pertahanan, Israel Katz telah mengarahkan tentera Israel untuk mempergiatkan operasi ketenteraan di Tebing Barat sebagai tindak balas terhadap letupan itu.
Sementara itu, Channel 13 memetik seorang pegawai yang tidak dinamakan dari pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, Netanyahu memandang serius insiden itu dan akan mengarahkan langkah tegas terhadap kumpulan bersenjata di Tebing Barat.
Pejabat itu selanjutnya mengumumkan bahawa beliau merancang untuk mengadakan mesyuarat keselamatan tidak lama lagi untuk menilai keadaan tersebut.










