Hubungan Trump-Zelenskyy tegang

Hubungan Trump-Zelensky tegang

PRESIDEN Ukraine, Volodymyr Zelensky dan Presiden AS, Donald Trump ketika pertemuan di New York City, pada 27 September 2024.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sebagai ‘diktator’, sekali gus meningkatkan ketegangan antara kedua-dua pemimpin itu.

‘Perang mulut’ berterusan itu turut dikhuatiri memberi kesan kepada masa depan Kyiv serta usaha menamatkan pencerobohan Russia yang sudah berlarutan lebih tiga tahun.

PERANG MULUT

Trump dilaporkan menuduh Ukraine memulakan perang dengan Russia melalui komen yang dimuat naik di rangkaian media Truth Social, hanya beberapa jam selepas Zelenskyy menuduh beliau menyebarkan maklumat salah dari Russia.

Bercakap kepada wartawan di Kyiv, Zelenskyy menolak beberapa dakwaan tidak berasas yang dibuat oleh Trump pada Selasa, sambil menegaskan bahawa sebarang perjanjian untuk menamatkan perang mesti melibatkan Ukraine.

“Saya sangat menghormati Trump sebagai pemimpin sebuah negara yang kami sanjungi dan rakyat AS yang sentiasa menyokong kami, tetapi malangnya beliau hidup dalam ruang maklumat salah,” kata Zelenskyy.

Trump secara terbuka mahu perang berakhir secepat mungkin walaupun ia bermakna Ukraine bakal kehilangan lebih banyak wilayahnya.

Keadaan itu membimbangkan Kyiv dan sekutunya kerana Trump sering mengulangi naratif Kremlin dan menyalahkan Ukraine serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) atas konflik tersebut, malah pernah berkata, Ukraine mungkin menjadi sebahagian daripada Russia suatu hari nanti.

Minggu lalu, beliau turut mencetus kontroversi apabila mengadakan panggilan telefon selama 90 minit dengan Presiden, Vladimir Putin, sebelum berbicara dengan Zelenskyy.

Lebih membimbangkan, pegawai AS dan Russia mengadakan rundingan peringkat tertinggi di Riyadh untuk membincangkan penyelesaian perang Ukraine tanpa kehadiran wakil dari Kyiv.

Putin memuji perubahan sikap AS terhadap Russia ketika merujuk rundingan di Riyadh dan beliau diberitahu bahawa suasana perbincangan itu berlangsung dalam suasana yang ‘mesra’.

“Ada individu yang berbeza di pihak AS, yang terbuka kepada proses rundingan tanpa sebarang berat sebelah atau kecaman terhadap apa yang telah berlaku sebelum ini,” tambah Putin.

Dalam rundingan tersebut, AS dan Russia bersetuju melantik pasukan peringkat tertinggi bagi merundingkan penamatan perang serta berusaha untuk mengembalikan saluran diplomatik antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, Zelenskyy menegaskan, Ukraine tidak berpuas hati dengan pengecualian mereka dalam rundingan itu.

Beliau berkata, walaupun mana-mana negara berhak untuk membincangkan isu dua hala, tindakan AS mengadakan perbincangan langsung dengan Russia membantu Putin keluar dari pengasingannya.

Sebelum ini, di bawah pentadbiran bekas Presiden Joe Biden, AS merupakan sekutu rapat Ukraine dan menyalurkan puluhan bilion dolar dalam bentuk bantuan ketenteraan.

Namun, Trump menyatakan secara jelas bahawa beliau tidak mahu AS terus memberi bantuan kepada Ukraine tanpa mendapatkan sesuatu sebagai balasan.

TOLAK PERJANJIAN NADIR BUMI

Awal bulan ini, Trump mencadangkan AS sepatutnya mendapat akses kepada sumber mineral Ukraine sebagai pertukaran bagi bantuan ketenteraan yang dilaburkan itu.

Namun kelmarin, Zelenskyy menolak permintaan AS untuk mendapatkan kekayaan nadir bumi berjumlah AS$500 bilion (RM2.2 trilion) dari Ukraine untuk ‘membayar balik’ bantuan perang yang diberikan Washington.

Beliau menegaskan, bantuan dibekalkan AS tidak setimpal dengan nilai sumber mineral yang dimahukan Trump, malah Washington tidak menawarkan jaminan keselamatan khusus dalam perjanjian itu.

Menurut Zelenskyy, Washington hanya membekalkan negaranya dengan AS$67 bilion senjata (RM296 bilion) dan AS$31.5 bilion (RM139.5 bilion) dalam bentuk sokongan bajet langsung sepanjang perang hampir tiga tahun dengan Russia.

“Anda tidak boleh memanggil bantuan ini satu pertukaran sepadan dan meminta kami memulangkan AS$500 bilion mineral atau sesuatu yang lain. Ini bukan perbualan yang serius,” tegasnya.

Beliau berkata, perjanjian yang dicadangkan itu tidak mengandungi peruntukan keselamatan yang sangat diperlukan untuk melindung Ukraine daripada pencerobohan Russia.

Katanya, draf perjanjian itu mencadangkan AS mengambil pemilikan 50 peratus daripada mineral kritikal Ukraine.

“Saya akan mempertahankan Ukraine, saya tidak boleh menjual negara ini. Saya meminta mereka berikan kami sesuatu yang positif. Mereka menulis sesuatu seperti jaminan dan kami akan menulis memorandum melibatkan peratusan.

“Saya diberitahu ia hanya 50 peratus, jadi saya menolak. Biarkan peguam bekerja. Saya hanya pembuat keputusan, saya tidak mengusahakan butiran dokumen ini. Biarkan mereka menguruskannya,” jelasnya.

Perkara mengenai jumlah bantuan yang dibekalkan AS kepada Ukraine mengambil kira kepentingan diplomatik penting ketika Kyiv cuba mengekalkan sokongan daripada sekutunya.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×