KAHERAH: Ahli arkeologi Mesir menemukan makam purba Raja Thutmose II berhampiran Luxor, menjadikannya penemuan makam diraja firaun pertama dalam lebih satu abad.
Pihak berkuasa Mesir berkata, makam yang terletak di barat Lembah Raja-Raja itu merupakan yang terakhir dari dinasti ke-18 Mesir, yang belum ditemukan sebelum ini.
Dinasti itu memerintah selama lebih dua abad antara 1550 sebelum Masihi (SM) dan 1292 SM.
Pengarah lapangan misi tersebut, Dr Piers Litherland berkata, makam itu ditemukan di kawasan yang dikaitkan dengan tempat istirehat wanita diraja, namun penemuan mendapati ia dihias seperti makam firaun.
“Sebahagian siling makam masih utuh dengan kesan cat biru dan bintang kuning yang hanya dijumpai di makam raja,” katanya.
Dua abad lalu, mayat mumia Thutmose II ditemukan, namun tempat asal pengebumian beliau tidak pernah dijumpai.
Thutmose II adalah nenek moyang kepada Tutankhamun, yang dipercayai memerintah dari sekitar 1493 hingga 1479 SM.
Makam Tutankhamun ditemuikan oleh pasukan arkeologi Britain pada 1922.
Dr Litherland berkata, anak tangga besar dan lorong turun yang sangat panjang menunjukkan keagungan makam tersebut dan pihaknya mengambil masa untuk melalui kawasan itu, ekoran halangan akibat serpihan banjir dan siling runtuh.
“Hanya selepas merangkak melalui lorong sepanjang 10 meter yang hanya mempunyai ruang 40 cm di bahagian atas, kami berjaya memasuki kawasan makam.”
Pasukan itu menemukan siling biru dan dekorasi adegan dari Amduat, sebuah teks agama yang hanya digunakan untuk raja-raja, satu petanda penting mereka menemukan makam diraja.
Menurut Dr Litherland, selepas membersihkan serpihan runtuhan makam tersebut didapati kosong sepenuhnya dan mengesyaki ia dialihkan ke lokasi lain pada zaman purba.
Melalui penyaringan beribu-ribu tan batu kapur di dalam bilik makam, mereka menemukan serpihan balang alabaster yang bertulis nama Thutmose II dan Hatshepsut.
Artifak itu adalah objek pertama yang ditemukan berkaitan dengan pengebumian Thutmose II.
Dr Litherland berkata, pasukannya sudah mempunyai gambaran kasar tentang lokasi makam kedua, dan ia mungkin masih utuh bersama harta karun.
Penemuan makam firaun itu menandakan penamat lebih daripada 12 tahun usaha keras pasukan gabungan dari Yayasan Penyelidikan Kerajaan Baru Dr Litherland dan Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir.
Pasukan ini sebelum ini telah menggali 54 makam di bahagian barat Gunung Theban di Luxor dan turut mengenal pasti lebih daripada 30 isteri diraja dan gundik istana.- BBC










