PETALING JAYA: Malaysia berhasrat mengembalikan penerbangan terus ke Bahrain bagi mengeratkan jalinan hubungan dua hala serta merangsang pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam perbincangan dengan rakan sejawatnya yang juga Putera Mahkota Bahrain, Sheikh Salman Hamad Al Khalifa, mereka menekankan kepentingan meningkatkan hubungan udara yang lebih kerap antara kedua-dua negara.
“Potensi di sini (Bahrain) ada, walaupun kita masih menunggu, mungkin kita akan minta syarikat penerbangan Gulf Air supaya mengembalikan penerbangan terus antara Malaysia dan Bahrain.
“Perdana Menteri yang juga Putera Mahkota Bahrain minta kita beri perhatian supaya ada hubungan pesawat yang lebih kerap sama ada Malaysia Airlines atau syarikat penerbangan lain,” katanya ketika menghadiri Majlis Makan Malam bersama diaspora Malaysia sempena lawatan rasminya ke Bahrain.
Penerbangan terus antara Malaysia dan Bahrain sebelum ini dihentikan oleh Gulf Air pada 2012. Ia menyebabkan pelancong dan ahli perniagaan terpaksa bergantung kepada penerbangan sambungan melalui hab utama seperti Doha dan Dubai.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Putera Mahkota Bahrain dijangka berkunjung ke Malaysia pada Mei ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Jelas beliau, GCC penting bagi Malaysia dan ASEAN dalam meningkatkan pelbagai bidang termasuk pendidikan, pelancongan, pelaburan, kewangan dan perbankan Islam serta industri halal.
“Putera Mahkota maklumkan kepada saya, baginda kemungkinan besar akan ke Kuala Lumpur pada Mei ini untuk hadiri ASEAN-GCC.
“Jadi GCC itu adalah satu kawasan yang penting bagi Malaysia dan ASEAN dan insya-Allah kita akan tingkatkan dalam semua bidang, kita akan bincang sektor pendidikan, kecerdasan buatan (AI), pelancongan dan ekonomi,” katanya.
Dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin, Anwar menyampaikan undangan kepada Putera Mahkota Bahrain bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China. – UTUSAN











