PETALING JAYA: Atlet menembak wanita negara, Alia Sazana Azahari perlu menunggu keputusan Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) untuk mengesahkan catatan yang dilakukannya di Kejohanan Raifal/Pistol Piala Asia 2025 sebagai rekod dunia atau sebaliknya.
Alia melakukan 44 hit mengatasi rekod dunia 42 hit milik penembak Korea Selatan, Kim Ye Ji sewaktu memenangi pingat emas dalam acara 25 meter (m) pistol wanita.
Namun, pencapaian tersebut hanya dikira sebagai rekod Asia kerana ia dilakukan di peringkat benua itu dan bukannya di kejohanan dunia sekali gus menyebabkan ia tidak disahkan sebagai rekod dunia.
Alia, 34, berkata, dia menyerahkan perkara tersebut atas budi bicara ISSF sama ada mahu mempertimbangkan catatan 44 hit yang dilakukannya sebagai rekod baharu.
“Kedua-dua (rekod) itu betul tetapi sekarang sedang menunggu keputusan daripada ISSF sama ada untuk menerima ia (catatan) sebagai rekod dunia kerana rekod sedia ada 42 hit. Sepatutnya sudah rekod dunia tetapi sebab ini adalah kejohanan Asia.
“Tidak tahu sama ada mereka akan mempertimbangkan ataupun tidak untuk rekod dunia tetapi memang kami sedang menunggu (pengesahan). Bagaimanapun, saya tidak jangka dalam tempoh terdekat,” katanya.
Pada aksi final di Lapang Sasar Menembak SAT, Bangkok, Thailand Ahad lalu, Alia memenangi emas selepas menewaskan Lee Siyoon yang melakukan 32 hit dari Korea Selatan manakala atlet Singapura, Teh Xiu Yi (28 hit) meraih gangsa.
Alia berkata kemenangan tersebut cukup bermakna meskipun dia sudah memenangi dua pingat emas pada temasya Sukan SEA selain merangkul gangsa di Sukan Komanwel Gold Coast 2018.
“Pencapaian ini boleh dikatakan bermakna juga kerana ia merupakan antara kemenangan yang dinanti-nantikan. Menjadi juara di peringkat Asia memang satu impian tetapi dapat pecah rekod boleh dikatakan ‘jackpot’,” ujarnya. – UTUSAN










