Smotrich ugut 'buka pintu neraka' di Gaza

Smotrich ugut ‘buka pintu neraka’ di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Bezalel Smotrich mendesak pejuang Hamas untuk segera meletak senjata dan meninggalkan Gaza jika tidak mahu mencetus perang lebih buruk di wilayah berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian sebelum menghadiri mesyuarat Kabinet bagi membincangkan fasa gencatan senjata seterusnya antara Israel dengan kumpulan pejuang Palestin itu.

Smotrich dalam kenyataan video, berkata, beliau akan ‘menuntut diadakan undian’ dalam kalangan menteri berhubung rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengosongkan Gaza dan penduduknya sebelum membangunkan kawasan itu.

Beliau menegaskan, Israel mesti memberi kata putus yang jelas kepada Hamas iaitu membebaskan semua tebusan segera, meninggalkan Gaza dan ke negara lain, serta menyerahkan senjata mereka.

“Jika Hamas menolak tuntutan ini, Israel akan ‘membuka pintu neraka’,” katanya mengulangi ungkapan yang digunakan Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Sebagai penentang kuat terhadap usul menamatkan perang antara Israel dan Hamas, beliau mengancam untuk meletak jawatan dalam gabungan pemerintahan Netanyahu jika perang tidak disambung selepas fasa pertama gencatan senjata berakhir.

Rancangan Trump membangunkan Gaza kurang perincian namun ia telah mencetuskan kemarahan global disebabkan gesaanya untuk memindahkan rakyat Palestin ke negara lain seperti Mesir dan Jordan di bawah ‘pengambilalihan’ Gaza oleh AS.

Smotrich berkata, Israel perlu melaksanakan ‘penaklukan sepenuhnya’ wilayah tersebut.

Media Israel melaporkan, Kabinet Keselamatan Israel telah bermesyuarat pada petang Isnin bagi membincangkan fasa kedua gencatan senjata yang bermula pada 19 Januari lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, peperangan yang berlarutan selama lebih 15 bulan telah memusnahkan atau merosakkan lebih 69 peratus bangunan di Gaza, memaksa hampir seluruh penduduk Gaza berpindah dan mencetuskan kebuluran secara meluas.

“Ia mereka atau kami. Sama ada kita yang menghancurkan Hamas, atau Hamas akan menghancurkan kita.

“Saya menggesa perdana menteri untuk mengisytiharkan bahawa sebaik sahaja perang disambung semula selepas fasa pertama gencatan senjata berakhir, Israel akan, dari hari pertama, merampas 10 peratus daripada wilayah Gaza, menegakkan kedaulatan penuh di sana, dan segera menguatkuasakan undang-undang Israel.

“Selain itu, mesti diumumkan bahawa sebaik sahaja pertempuran berlangsung, segala bantuan kemanusiaan akan dihentikan sepenuhnya,” kata Smotrich.

Smotrich berkata, berdasarkan pelan yang sedang disediakan, penduduk Gaza akan dibenarkan keluar dari tanah air mereka, tetapi hanya dari satu arah dan tanpa kemungkinan mereka dapat kembali.

“Kehilangan sebuah wilayah adalah satu-satunya padah yang harus ditanggung oleh musuh kita, satu-satunya perkara yang akan membuat mereka sedar bahawa kita serius,” tambahnya.

Sejak fasa pertama gencatan senjata bermula bulan lalu, 19 tebusan Israel telah dibebaskan sebagai pertukaran untuk lebih 1,100 tahanan Palestin.

Daripada 251 orang yang diculik dalam serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, 70 masih di Gaza, termasuk 35 yang dikatakan telah mati oleh tentera Israel.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN