Israel siap sedia terima empat mayat tebusan dari Gaza

Israel siap sedia terima empat mayat tebusan dari Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Israel dijangka menerima jenazah empat tebusan dari Gaza pada Khamis dan sedang berusaha membawa pulang enam lagi tebusan yang masih hidup pada Sabtu ini, menurut seorang pegawai keselamatan Israel.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jika kedua-dua pemulangan itu berjaya, hanya empat lagi tebusan, kesemuanya dipercayai telah meninggal dunia akan tinggal di Gaza daripada 33 individu yang dijadualkan dibebaskan dalam fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas.

Perjanjian gencatan senjata yang dimediasi oleh Qatar dan Mesir itu terus berjalan meskipun terdapat beberapa tuduhan pelanggaran perjanjian dari kedua-dua pihak.

Semalam, Hamas memaklumkan Israel menghalang penghantaran bahan binaan untuk puluhan ribu penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan udara Israel sejak 15 bulan lalu.

Setakat ini, 19 tebusan Israel telah dikembalikan bersama lima warga Thailand yang dibebaskan secara tidak dijadualkan.

Hamas sebelum ini mendakwa sebanyak 25 daripada 33 tebusan yang akan dibebaskan masih hidup.

Perjanjian gencatan senjata ini turut dicemari dengan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mencadangkan pemindahan rakyat Palestin dari Gaza dan pembangunan semula wilayah itu sebagai zon tepi laut di bawah kawalan AS.

Namun, pegawai Israel memaklumkan rundingan bagi fasa kedua perjanjian sudah bermula.

Sebuah pasukan Israel telah berlepas ke Kaherah dan kabinet keselamatan Israel telah meluluskan penghantaran delegasi peringkat tinggi ke Qatar bagi membincangkan langkah seterusnya.

Tebusan tersebut diculik dalam serangan rentas sempadan yang diketuai Hamas pada 7 Oktober 2023, yang turut mengorbankan kira-kira 1,200 orang di selatan Israel menurut angka rasmi Israel.

Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza yang telah mengorbankan lebih 48,000 rakyat Palestin, memusnahkan sebahagian besar wilayah itu dan menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN