TERLETAK di Uttrakhand, India, Gunung Kedarkantha memiliki ketinggian seperti Gunung Kinabalu.
Namun, misi menawannya disifatkan lebih sukar daripada gunung tertinggi Asia Tenggara itu.
Pengalaman itu dikongsikan Presiden Persatuan Kembara Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Mohd. Yunus ketika menyertai pendakian bersama empat ahli pasukannya, baru-baru ini.
Bagaimanapun, misi mereka untuk ke puncak tidak kesampaian disebabkan faktor cuaca yang buruk dengan salji turun lebat termasuk beberapa kali dilanda ribut.
Di tambah pula dengan keadaan perutnya yang tidak selesa akibat cirit-birit selepas menikmati sajian makan malam di Kem 1, Juda Ka Talab.
“Tiga kali saya ke tandas yang lokasinya agak jauh dari khemah dengan cabaran kesejukan dan cuma berpandukan lampu di kepala sahaja,” katanya menceritakan pengalaman itu.
Setelah berfikir sendirian dan berbincang dengan jurupandu, Mohd. Khalid nekad untuk meneruskan pendakian ke Kem 2 dalam keadaan perutnya yang tidak selesa.
Katanya, salji mula turun sewaktu mereka mendaki ke kem itu dan makin lama makin lebat hingga mencecah ke buku lali, lantas menyebabkan keadaan sekeliling turut memutih.
Ujarnya, kem 2 berketinggian 3,600 meter dan hanya tinggal 400 meter lagi untuk ke puncak.
Namun, perutnya masih tidak lega walaupun ubat sudah dimakan sejak di Kem 1.
Sehubungan itu, beliau memutuskan untuk tidak ke puncak kerana keadaan badan yang lemah dan faktor cuaca sejuk.
Hanya empat rakannya yang meneruskan cabaran itu bermula pukul 4 pagi.
“Walaupun tidak ke puncak sempat juga saya meredah salji di sekitar kem sambil menikmati keindahan gunung-ganang dan suasana sekeliling yang memutih.
“Pada masa itu, saya menganggarkan empat rakan mengambil masa lapan jam untuk naik dan turun tetapi tiba-tiba hanya jurupandu saya yang muncul sendirian di khemah.
“Katanya, saya buat keputusan yang tepat kerana ribut salji dan menyarankan untuk kami turun dahulu,” ujarnya.
10 jam turun ke Sankri
Spikes mula dipasang pada kasutnya bagi memudahkan pergerakan dan mencengkam salji tebal.
Kata Mohd. Khalid, laluan dua hari lalu yang berbatu kini memutih diliputi salji, malah deretan pohon ru dan oak turut bertukar seperti pokok krismas.
“Tasik beku berwarna hitam sewaktu mendaki sebelum ini sudah menjadi putih sekali gus menghilangkan rasa letih, menenangkan jiwa dan merangsang untuk terus menapak.
“Ketika itu, rakan-rakan di belakang juga sudah dapat bersama-sama saya untuk mendaki turun,” katanya.
Setelah kira-kira enam jam mendaki turun dengan ditemani deretan pokok, mereka mula melalui kawasan berbatu dalam kegelapan malam.
Kongsinya, laluan itu amat berbahaya dengan batuan besar dan kecil diikuti laluan air di merata tempat.
“Cara meletakkan tapak kaki di atas batu-batu amat penting dan walaupun sudah buat perlahan-lahan serta cermat, saya tetap terjatuh sekali dan ia sangat menyakitkan.
“Akhirnya, barulah kami sampai ke Sankri, lemah-longlai rasa badan tetapi bangga dapat melalui dan mengatasi cabaran getir Gunung Kedarkantha,” katanya.
Jadi inspirasi pendaki
Sementara itu, mengulas perjalanan ke gunung tersebut, katanya, mereka terbang dari Delhi ke bandar Dehradun yang mengambil masa 30 minit.
Kemudian, mereka perlu menaiki kereta selama lapan jam ke inap desa yang menjadi tempat persinggahan pertama.
Perjalanan kemudian diteruskan ke lokasi persinggahan kedua, Sankri untuk bermalam.
Ketinggian lokasi itu sudah mencapai 2,000 meter dari aras laut dan angin sejuk mula menggigit tubuh.
Khalid difahamkan, lebih 400 pendaki dari seluruh India datang ke gunung itu dalam satu-satu masa atau bersamaan 15,000 orang setahun.
“Ramai pendaki teruja apabila mengetahui yang umur saya sudah 82 tahun dan menjadikan saya sebagai sumber inspirasi serta motivasi mereka,” akhirinya.-UTUSAN










