ATHENS: Greece melanjutkan penutupan sekolah untuk tempoh seminggu lagi di empat pulau di Laut Aegean, termasuk Santorini berikutan aktiviti seismik yang berterusan.
Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis mengumumkan tempoh lanjutan itu menerusi kenyataan di media sosialnya, semalam.
Beliau berkata, pulau gunung berapi di Yamurgi, Niyoz dan Anafiya akan terus ditutup untuk seminggu lagi kerana masih terjejas oleh pergerakan seismik.
Keputusan itu diambil susulan pengisytiharan darurat yang dibuat di pulau tersebut, di mana sekolah ditutup selama dua minggu akibat situasi berterusan.
Sementara itu, saintis dari dua jawatankuasa kerajaan memberikan kemas kini mengenai aktiviti seismik di kawasan tersebut khususnya di kawasan laut antara Santorini dan Amorgos.
Mereka mengesahkan, walaupun aktiviti seismik sedang berada dalam keadaan tenang relatifnya, ia masih berkait rapat dengan rekahan bawah laut serta gabungan proses tektonik dan magmatik.
Peningkatan deformasi tanah juga telah dicatatkan di kawasan Santorini dan terus dipantau.
Saintis berkata, sekitar 1,300 gempa bumi direkodkan di kawasan perairan Anydros antara Thera dan Amorgos sejak 1 Februari lalu dengan yang terbesar berukuran 5.3 skala Richter.
Dalam temu bual televisyen pada Selasa lalu, saintis terkenal dan Pengerusi Sains Bumi di Akademi Athens menerangkan bahawa gempa bumi tersebut semakin kuat dan meluas.
Susulan situasi itu, beliau berkata terlalu awal untuk menolak kemungkinan berlaku letusan gunung berapi di Santorini.
Gunung berapi di Santorini pernah meletus sebanyak tiga kali pada ada ke-20, pada 1925-1926, 1939-1941 dan 1950.– ANADOLU











