GAZA: Tentera Israel bertindak kejam dengan memaksa seorang warga emas Palestin berusia 80 tahun menjadi perisai manusia di Gaza sebelum dia ditembak mati.
Laporan media Israel, The Hottest Place in Hell mendedahkan, seorang pegawai kanan Briged Nahal dari tentera Israel mengikat tali yang dipasang bahan letupan di leher mangsa, sambil mengugut akan meletupkan kepalanya jika dia enggan mengikut arahan.
Mangsa kemudian diarahkan memasuki rumah terlebih dahulu bagi memastikan ia selamat daripada perangkap bom atau pejuang Palestin, sebelum dia dan isterinya diarah meninggalkan kediaman mereka di kejiranan Zeitoun, pada Mei lalu.
Namun, ketika pasangan itu berjalan menuju ke zon kemanusiaan yang ditetapkan Israel, satu batalion tentera rejim lain yang tidak dimaklumkan mengenai kehadiran mereka melepaskan tembakan serta-merta, menyebabkan kedua-duanya maut di tempat kejadian.
Mangsa pada awalnya bertemu tentera Israel di rumah dan menjelaskan dia serta isterinya tidak dapat berpindah ke selatan Gaza kerana mengalami kesukaran bergerak namun, askar rejim tetap memaksanya berjalan menggunakan tongkat, manakala isterinya ditahan di dalam rumah.
Seorang askar yang terlibat dalam operasi itu mendedahkan kepada penyiasat komander, mereka memutuskan untuk menggunakan pasangan Palestin tersebut sebagai ‘nyamuk’, satu istilah yang merujuk kepada taktik tentera Israel memaksa orang awam Palestin menjadi perisai manusia bagi melindungi tentera rejim daripada ditembak atau terkena letupan.
“Dia diarahkan masuk ke dalam setiap rumah sebelum kami. Jika ada bom atau pejuang di dalamnya, dia yang akan terkena dahulu, bukan kami,” kata askar itu.
Mangsa turut diugut jika dia cuba melawan atau tidak mengikut arahan, seorang askar Israel akan menarik tali letupan di lehernya, yang akan menyebabkan kepalanya hancur berkecai.
Selepas lapan jam digunakan sebagai perisai manusia, warga emas tersebut dan isterinya diperintahkan berjalan menuju ke zon kemanusiaan di selatan Gaza.
Namun, tanpa sebarang makluman kepada batalion lain, mereka ditembak sebaik sahaja dilihat di jalan raya.
Taktik tentera Israel menggunakan rakyat Palestin sebagai perisai manusia bukan sesuatu yang baharu, walaupun tindakan itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Laporan yang didedahkan oleh akhbar Haaretz pada Ogos lalu, membongkar tentera Israel bukan sahaja menculik rakyat Palestin, malah memakaikan mereka seragam tentera, memasang kamera pada badan dan menghantar mereka ke dalam terowong serta bangunan bagi melindungi askar Israel.
Tindakan itu mendapat kecaman daripada Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Wilayah Palestin, Francesca Albanese, yang menyifatkannya sebagai satu bentuk kekejaman perang.
Setakat ini, pihak tentera Israel masih belum memberi sebarang maklum balas mengenai pendedahan terbaru ini. -AGENSI










