RAMALLAH: Tindakan Israel memaksa tahanan Palestin yang dibebaskan untuk memakai baju dengan logo Bintang Daud, mencetuskan kemarahan dan dikutuk sebagai ‘jenayah perkauman’.
Pertukaran keenam pada Sabtu menyaksikan pembebasan 369 warga Palestin dan tiga tebusan Israel selepas beberapa rundingan tegang.
BAJU PROVOKASI PERKAUMAN
Imej yang disiarkan di media Israel sebelum pembebasan mereka di bawah perjanjian gencatan senjata menunjukkan barisan tahanan Palestin memakai baju panas berwarna putih.
Pada baju tersebut tertera lambang Bintang Daud, logo perkhidmatan penjara Israel serta tulisan Arab ‘kami tidak lupa dan kami tidak memaafkan’.
Rakaman yang diambil di Gaza oleh Al Jazeera memaparkan beberapa warga Palestin membakar baju tersebut sebaik tiba di Hospital Eropah di Khan Younis.
“Kami mengutuk jenayah pendudukan yang meletakkan slogan perkauman di belakang tahanan kami yang berani, serta melayan mereka secara zalim, dalam pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang dan norma kemanusiaan,” kata Hamas dalam satu kenyataan.
Hamas menegaskan, tindakan itu bercanggah dengan komitmen teguh pasukan pejuang terhadap nilai moral dalam melayan tebusan Israel.
Kumpulan Jihad Islam turut mengecam baju tersebut sebagai ‘jenayah perkauman’.
Menurut Pihak Berkuasa Penyiaran Israel yang memetik sumbernya mendakwa, terdapat kritikan di Israel sendiri mengenai pakaian seragam tersebut.
Sumber itu mendakwa, kepemimpinan politik Israel tidak dimaklumkan mengenai tindakan berkenaan.
“Keputusan untuk memaksa tahanan Palestin memakai baju tersebut dibuat oleh Pesuruhjaya Penjara Israel, Kobi Yaacobi,” menurut sumber yang dipetik oleh penyiar Israel.
Sementara itu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), yang mengendalikan pertukaran tahanan, menggesa semua pihak agar memastikan pembebasan dilakukan dengan lebih bermaruah.
“Walaupun kami berulang kali menyeru agar semua pembebasan dilakukan dengan cara bermaruah, banyak usaha perlu dilakukan oleh semua pihak termasuk pengantara, untuk memperbaiki pertukaran akan datang,” kata ICRC dalam kenyataan, kelmarin.
DIKEJARKAN KE HOSPITAL
Pada pagi Sabtu, Hamas dan sekutunya, Jihad Islam Palestin, mengerahkan kira-kira 200 pejuang untuk mengambil bahagian dalam upacara penyerahan yang telah dirancang di sebuah dataran di bandar Khan Younis, selatan Gaza.
Penyerahan keenam berlangsung lebih lancar berbanding sebelum ini, dengan ketiga-tiga tebusan kelihatan sihat.
Tiga tebusan, Sagui Dekel-Chen, Iair Horn dan Sasha Troufanov yang diculik dari kibbutz Nir Oz dalam serangan pada 7 Oktober 2023 diarah membaca kenyataan di atas pentas di hadapan orang ramai sebelum diserahkan kepada ICRC.
Pentas tersebut memaparkan poster yang menunjukkan kompleks Al-Aqsa di Baitulmuqaddis, kelihatan melalui lubang di dinding sebuah bangunan yang musnah.
Poster tersebut turut memaparkan slogan ‘Tiada perpindahan kecuali ke Baitulmuqaddis’, merujuk kepada cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya penduduk Palestin di Gaza dipindahkan ke negara lain.
Lapor Anadolu, empat tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel kelmarin terpaksa dikejarkan ke hospital sebaik tiba di Ramallah akibat komplikasi kesihatan yang serius.
Dalam satu kenyataan, Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan bahawa pasukan perubatannya memindahkan empat warga Palestin yang dibebaskan dari lokasi penerimaan di Ramallah ke hospital berikutan keadaan kesihatan mereka yang semakin merosot.
Tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel dilaporkan mengalami kebuluran, penderaan dan penyeksaan psikologi ketika dalam tahanan, dengan keadaan fizikal mereka menunjukkan tanda-tanda penganiayaan.
Gambar kebanyakan tahanan yang dibebaskan menunjukkan penurunan berat badan yang ketara semasa dalam tahanan Israel dan sebahagian daripada mereka dilihat sukar untuk berjalan hingga terpaksa dipapah.
Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean dalam satu kenyataan turut mengutuk layanan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanan Palestin, menggambarkan penjara Israel sebagai ‘pusat penyeksaan institusi’ dan ‘kubur bagi mereka yang masih hidup’.
Organisasi hak asasi manusia itu turut berkongsi imej seorang tahanan Palestin yang menunjukkan kemerosotan kesihatan yang teruk, menyoroti keadaan suram sepanjang tempoh pemenjaraan mereka.
Kenyataan itu menegaskan bahawa kemerosotan kesihatan para tahanan mencerminkan keadaan buruk yang mereka alami, termasuk penyeksaan, layanan tidak berperikemanusiaan dan pelanggaran hak asasi yang menghina sehingga saat pembebasan mereka.
Kesemua tahanan yang dibebaskan menggambarkan detik ngeri yang dihadapi semasa berada di penjara Israel, di mana kebanyakan mereka dipenjarakan tanpa sebarang pertuduhan.
Ameer Abu Ra’adaha, yang menghabiskan 32 dari 51 tahun hidupnya di dalam penjara, meluahkan perasaan yang tidak dapat digambarkan selepas dibebaskan.
Beliau berkata, tahanan sudah menjangka akan ada pertukaran beberapa hari sebelumnya apabila pengawal penjara menjalankan serbuan di sel-sel dan memukul sebahagian mereka.











