PKP: Bertenang, jangan panik - Utusan Malaysia

PKP: Bertenang, jangan panik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Empat negeri bakal menyusuli Kedah dan Kelantan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar berikutan pengesanan aliran peningkatan mendadak kes Covid-19 selain mencegah varian baharu dengan mutasi berganda dari India B.1617..

Negeri-negeri dalam senarai menunggu pelaksanaan PKP pada bila-bila masa ialah Selangor, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.

PKP yang dalam penilaian itu akan dilaksanakan mengikut keperluan terutama mengekang penularan varian-varian baharu yang cepat merebak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, menerusi PKP bersasar tersebut, penduduk seperti mana sebelum ini tidak dibenarkan melakukan aktiviti sosial, makan di restoran, kenduri kahwin, majlis keramaian, majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri dan rentas daerah.

Bagaimanapun, menurut beliau, perniagaan dalam sektor-sektor penting dan perlu (essential) dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Ini bukan PKP seluruh negara atau PKP 3.0 tetapi bergantung kepada kawasan-kawasan tertentu. Kita akan kenal pasti kawasan-kawasan yang menjadi pencetus kepada wabak. Kita akan menggunakan kaedah Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) dan juga menilai kadar jangkitan tinggi di kawasan-kawasan tertentu.

“Masa kini Selangor dilihat sebagai negeri yang mempunyai aliran peningkatan jangkitan dan kes tidak turun, berkemungkinan PKP dilaksanakan seluruh negeri ini manakala Sarawak belum diputuskan setakat ini. Pulau Pinang dan Johor pula menjadi dua negeri menunggu untuk pelaksanaan sama.

“Bagaimanapun, saya minta semua bertenang dan jangan panik. Status PKP hanya diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menyekat penularan jangkitan Covid-19. MKN bersidang setiap hari bagi membuat pernilaian apa yang perlu dilakukan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Berdasarkan data survelan genomik Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan semalam, satu kes varian India B.1617 dengan mutasi berganda mula dikesan di pintu masuk antarabangsa.

Kementerian juga mengesan 27 kes pula dijangkiti varian South African B.1.351 manakala tiga lagi kes varian UK B.117.

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, varian South African B.1.351 dikesan di Perak dan Kelantan melibatkan kluster tertentu dengan 10 kes di setiap negeri itu selain tujuh kes sedang dikenal pasti di Selangor melibatkan varian sama serta tiga kes varian UK B.1.1.7 di Selangor dan Sandakan di Sabah.

“Ini kebimbangan kita kerana dapatan tersebut bukan sahaja varian South African B.1.351 sudah rentas negeri dan mula dikesan negeri lain secara sporadik. Lebih bimbang, varian dari India telah dijumpai di pintu masuk antarabangsa tetapi kita dapat sekat melalui saringan.

“Ya, boleh sangat (PKP) dilaksanakan mengambil kira asas pertimbangan penularan varian baharu,” kata beliau.

Sehubungan itu, Dr. Adham berkata, jika empat negeri berkenaan melaksanakan PKP, kebanyakan prosedur operasi standard (SOP) seperti PKP sebelum ini akan terpakai semula.

“Larangan rentas negeri akan diketatkan kerana kita bimbang transmisi antara negeri mudah berlaku. Rekod-rekod menunjukkan mutakhir ini ada lagi kluster-kluster rentas negeri masih berlaku.

“PKP bersasr adalah tindakan pantas untuk membendung penularan wabak. Kerjasama rakyat diperlukan kerana trend sekarang menunjukkan beberapa negeri sistem kesihatan di hospital sudah sampai peringkat membimbangkan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan menilai semula PKP yang sedang berkuat kuasa khususnya di negeri-negeri mengalami peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

Menurut beliau, penilaian semula itu penting bagi memastikan SOP dan tindakan yang diambil adalah berkesan membendung penularan pandemik itu yang semakin meningkat di negara ini dan di seluruh dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×