Tanggungjawab umat Islam ekonomi, kebajikan sesama agama

Tanggungjawab umat Islam bantu ekonomi sesama agama

ZULKIFLIE MOHAMAD SOHAIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HENDAK­LAH kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu tolong menolong dalam dosa dan permusuhan.” (Surah al-Maidah:2)

Sepotong ayat al-Quran itu sudah jelas menerangkan tentang kewajipan semua umat Islam untuk saling bantu membantu antara satu sama lain dan demikian menurut ilmuan agama Kedah, Tuan Guru Zulkiflie Mohamad Sohaimi, 52, bahawa perkara itu turut mencakupi bidang ekonomi Islam khususnya muamalat.

Menurut beliau, role model paling agung umat Islam ialah Rasulullah SAW yang digelar Tokoh Perancang Ekonomi Teramat Luar Biasa dalam dakwah baginda menyampaikan syiar Islam dan membangunkan ekonomi umat Islam ketika zamannya.

“Kekuatan strategi Rasulullah SAW luar biasa termasuk dalam ekonomi Islam ketika itu. Kita ambil contoh Perang Tabuk yang mana baginda dapat memimpin lebih 30,000 tenteranya. Tanpa strategi dan taktikal bagaimana baginda dapat menghadapi tentera Rom yang lebih ramai?

“Tentu baginda memiliki pandangan yang sangat jauh dan semua ini apabila menggunakan kekuatan ekonomi umat Islam dan dakwah baginda ketika itu,” katanya ketika ditemui di Maahad As Syatirie di Sungai Dedap, Yan, Jerai, Kedah baru-baru ini.

TUAN GURU ZULKIFLIE MOHAMAD SOHAIMI
Kelulusan:
 Sekolah Menengah Agama Darussaadah, Alor Setar Kedah
Madrasah Ad Diniah Al Bakriah (Pondok Pasir Tumboh), Kota Bharu Kelantan
 Madrasah As Saadah Al Islamiah (Pondok Gajah Mati) Pendang Kedah
 Diploma Pengajian Kuliah Bahasa Arab Universiti Damsyik, Syria
 Pengajian Kitab Turath Rubat Tareem Hadramaut, Yaman

Jawatan:
 Mudir Maahad As Syatirie (Pondok Sungai Dedap), Yan, Jerai Kedah
 Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah

Menurut Zulkiflie yang cukup terkenal dengan dakwah berkaitan ekonomi Islam itu, kisah Rasulullah SAW itu perlu menjadi inspirasi tentang keperluan bagi semua umat Islam membantu menjayakan ekonomi Islam yang sering dilihat ketinggalan.

“Kita ambil contoh masalah harga padi yang berlaku ketika ini. Kita kena ada kilang padi orang Islam dan kita ada satu sahaja, itu kelemahan ekonomi kita,” jelasnya.

Bagaimanapun menjelaskan dengan lebih lanjut, kata beliau, usaha mendukung ekonomi orang Islam seharusnya tidak dilihat sebagai sudah terlewat selagi dunia belum kiamat.

“Istilah terlambat tidak pernah wujud dalam Islam. Mana boleh terlambat, orang Islam kita ada dua perkara sahaja selagi sangkakala belum berbunyi dan matahari belum terbit sebelah Barat, kita belum terlambat, kita masih boleh berusaha meningkatkan ekonomi.

“Mulalah membantu bisnes orang Islam biar apa pun perniagaannya. Saya secara peribadi lebih suka orang jual goreng pisang daripada agamawan yang menunggang agama.

“Kalau ada kedai orang Islam belilah di situ jangan beli kedai lain lagi. Mulakan dengan langkah mudah itu sahaja,” katanya.

Bercerita tentang amalan dalam memulakan perniagaan, kata beliau, langkah pertama adalah mempelajari selok belok bidang itu terlebih dahulu demi memastikan kejayaannya.

“Antara yang wajib ada, pertama kena mengaji (belajar) banyak orang Melayu tidak mahu mengaji sebab ia satu bebanan dan mahu buat kerja semberono. Kita kena mengaji untuk berniaga.

“Kedua, nawaitu atau niat mestilah kerana Allah SWT dan Rasulullah SAW. Itu penting supaya berkat dan ketiga, kena pagar diri sendiri kerana khianat dan sihir ini ada belaka untuk menggagalkan kita,” jelasnya.

Beliau pada masa sama, menasihatkan agamawan terutama dalam kalangan pendakwah muda agar meniupkan semangat menjayakan ekonomi umat Islam dalam ceramah mereka.

“Saya akan bertemu dengan pihak Jabatan Agama Islam negeri untuk membincangkan perkara ini. Misalannya, berkaitan khutbah Jumaat dalam topik kepentingan membantu umat Islam dalam ekonomi yang patut diketengahkan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×