Beirut tolak ‘kehendak’ Israel kekal di selatan Lubnan

Beirut tolak ‘kehendak’ Israel kekal di selatan Lubnan

GAMBAR edaran dikeluarkan tentera Israel menunjukkan askar dari Divisyen ke-91 meronda berhampiran kereta kebal tempur utama Merkava, semasa operasi di selatan Lubnan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Lubnan menolak rancangan Israel untuk kekal di lima lokasi di selatan negara itu, selepas tarikh akhir untuk pengunduran tenteranya pada 18 Februari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkara itu ditegaskan Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri, selepas pertemuan dengan Jeneral Amerika Syarikat (AS), Jasper Jeffers yang mengetuai jawatankuasa memantau perjanjian gencatan senjata antara Hezbollah dan Israel di Beirut, kelmarin.

Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Duta AS ke Lubnan, Lisa Johnson.

“Pihak AS memaklumkan tentera Israel akan menarik diri pada 18 Februari dari kampung-kampung yang masih diduduki di selatan Lubnan, tetapi akan kekal di lima lokasi.

“Saya memberitahu mereka, bagi pihak diri saya, Presiden, Joseph Aoun, dan Perdana Menteri, Nawaf Salam bahawa kami dengan tegas menolaknya,” kata Berri.

Beliau turut menegaskan penolakan Lubnan untuk membincangkan sebarang lanjutan tarikh akhir bagi Israel mengundurkan tenteranya dari wilayah berkenaan.

“Ini adalah tanggungjawab pihak AS untuk menguatkuasakannya, jika tidak mereka akan menyebabkan pengunduran terbesar bagi kerajaan Lubnan.

“Jika pendudukan Israel kekal, hari seterusnya akan menjadi penentu dan ini adalah tanggungjawab Lubnan. Tentera sedang melaksanakan tugas sepenuhnya di selatan Sungai Litani,” katanya.

Rabu lalu, tentera Israel merancang untuk kekal di selatan Lubnan melebihi tarikh akhir yang ditetapkan pada 18 Februari ini.

Gencatan senjata rapuh sejak 27 November lalu, mengakhiri serangan berbulan-bulan antara Israel dan Hezbollah yang meningkat menjadi konflik berskala penuh pada September 2024.

Menurut perjanjian gencatan senjata, Israel sepatutnya menyelesaikan pengundurannya dari selatan Lubnan pada 26 Januari, tetapi tarikh akhir dilanjutkan ke 18 Februari selepas ia enggan mematuhi ketetapan itu.

Lubnan melaporkan lebih 900 pelanggaran gencatan senjata oleh Israel, yang mengorbankan 73 nyawa dan mencederakan 265 yang lain sejak 27 November.

Sementara itu, operasi ketenteraan Israel di Lubnan mengorbankan 4,104 nyawa dan mencederakan 16,890 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, dengan lebih 1.4 juta orang terpaksa dipindahkan sejak Oktober 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN