Pilih kasih dalam sesebuah keluarga memang wujud dan boleh merosakkan hubungan kekeluargaan.
Ia boleh berlaku antara ibu bapa dan anak-anak, antara datuk nenek dengan cucu-cucu atau dalam kalangan adik-beradik.
Pilih kasih dalam keluarga bukan sekadar perbezaan layanan, tetapi juga meninggalkan jurang emosi.
Ada yang terus bersabar dan berharap keadaan berubah, tetapi ada juga yang memilih menjauh diri.
Minggu ini, saya kongsikan kisah Zulaika (bukan nama sebenar), yang berpengalaman menjadi mangsa pilih kasih datuk dan nenek sendiri.
Dia mengambil keputusan menjauhkan diri, walaupun datuk dan neneknya telah menunjukkan keinsafan.
“Proses menerima perubahan mereka bukanlah boleh dipaksa dan dibuat dalam tempoh singkat.
“Saya memaafkan mereka, namun untuk rapat belum masanya lagi,” ujarnya dalam pertemuan bersama saya baru-baru ini.
Zulaika berkata, datuk dan neneknya mulai berubah sikap selepas nenek diserang strok pertengahan November tahun lalu.
Kata wanita berusia 22 tahun ini, sikap pilih kasih datuk dan neneknya itu berpunca daripada ketidakpuasan hati mereka terhadap ibu.
Tambahnya, datuk dan nenek serta seluruh ahli keluarga sebelah ibu tidak pernah menerima bapa sepenuhnya.
“Melalui apa yang diceritakan oleh ibu saudara, datuk dan nenek mahu menjodohkan ibu dengan lelaki pilihan mereka.
Namun ibu memilih bapa, lelaki yang dikenali semasa menuntut di luar negara,” ujarnya.
Bapanya, Abu Samah (bukan nama sebenar), bukan menantu pilihan dan sejak itu hubungan mereka menjadi dingin.
Disangkakan selepas kelahiran Zulaika, datuk dan nenek lembut hati, namun pendirian mereka tetap sama.
Sepanjang tempoh 20 tahun perkahwinan, ibu dan bapa Zulaika masih berusaha mengambil hati, tetap pulang ke kampung, namun datuk dan nenek tidak pernah melayan mereka sekeluarga dengan baik.
Bercerita lanjut, kata Zulaika, dia merupakan cucu ketiga dalam keluarga.
Sejak kecil dia selalu berharap untuk mendapat kasih sayang daripada datuk dan nenek seperti sepupu-sepupunya.
Tetapi apa yang diharap sebaliknya, kedua datuk dan nenek lebih menyayangi cucu-cucu lain terutama anak kepada Pak Long, abang kepada ibu.
Menurut Zulaika, dia mulai menyedari sikap pilih kasih datuk dan nenek itu setiap kali pulang ke kampung terutama pada hari raya.
“Saya perasan betapa berbezanya layanan datuk dan nenek terhadap kami sekeluarga berbanding anak menantu dan cucu-cucu yang lain, saya melihat bagaimana datuk dan nenek memeluk, memberi hadiah dan memuji mereka.
Nenek akan sibuk di dapur memasak makanan kegemaran anak menantu dan cucu cucu kesayangannya,” cerita Zulaika.
Ketika itu, dia tidak memahami apa-apa. Semakin meningkat remaja, dia semakin memahami keadaan.
Datuk dan nenek bukan sahaja tidak merestui perkahwinan ibu, tetapi meletakkan tanda harga pada kasih sayang mereka.
Kasih sayang bukan untuk semua cucu tetapi hanya untuk cucu yang lahir daripada anak-anak yang dibanggakan.
Sepengetahuan Zulaika, ibu dan ayah tidak pernah bercerita buruk tentang datuk dan nenek.
Mereka tetap sabar, tetap mengunjungi datuk dan nenek walaupun kehadiran mereka tidak diundang.
Kata Zulaika, dia bersyukur memiliki kedua ibu bapa yang menghormati orang tua.
“Saya cukup kagum dengan sikap ayah yang sentiasa ada di samping ibu dan tidak pernah berubah hati.
“Saya melihat apa yang berlaku mengeratkan lagi hubungan mereka. Namun saya dapat rasa ayah memendam kesedihan yang dia tidak pernah tunjuk,” ujarnya.
Semakin lama, Zulaika faham datuk dan nenek tidak pernah benar-benar menerima keluarga mereka.
Sebagai anak yang lahir kepada lelaki yang mereka benci, dia turut menjadi mangsa.
Menurut Zulaika, awalnya dia tidak faham mengapa ibu dan ayah masih berusaha untuk cuba mengambil hati datuk dan nenek.
Namun pada satu tahap, dia memahami tentang erti kasih sayang dan bakti anak kepada orang tua.
Melanjutkan cerita, kata Zulaika, peristiwa paling tidak dilupakan apabila ibu dan ayah dimalukan di depan ahli keluarga lain selepas ibu memilih untuk berhenti kerja.
“Datuk memperlekeh dan mengungkit tentang wang ringgit yang dihabiskan untuk ibu melanjutkan pengajian di luar negera.
“Sejak itu, sikap dan layanan buruk datuk dan nenek terhadap kami sekeluarga semakin menjadi-jadi,’’ ceritanya.
Hari berlalu, tahun berganti, sikap dan layanan datuk dan nenek terhadap mereka sekeluarga tidak berubah.
Sehinggalah pada penghujung November tahun lalu, nenek jatuh sakit.
“Memandangkan ibu tidak bekerja, adik-beradik ibu sepakat meminta ibu menguruskan nenek sepanjang berada di hospital dan di rumah.
“Sepanjang tempoh hampir sebulan, adik-beradik ibu hanya datang sekejap dan pulang dengan alasan masing-masing ada urusan kerja,” ujarnya.
Sejak dibawa pulang ke rumah, ibu tinggal bersama datuk dan nenek dengan izin ayah.
Sejak dari hari itu, dia dapat melihat bagaimana sikap nenek mula berubah.
Zulaika tidak pasti mungkin kerana usia atau sakit yang menimpa nenek.
“Ibu sering mengingatkan walapun seburuk mana datuk dan nenek, mereka adalah kedua orang tuanya dan ibu bertanggungjawab menabur bakti.
“Ibu juga mahu saya berubah untuk berlapang dada dan memaafkan datuk dan nenek, namun tidak pernah memaksa untuk saya rapat dengan mereka,” kata Zulaika mengakhiri perbualan.
Sesungguhnya, berbakti kepada orang tua adalah perkara yang wajib dilakukan oleh setiap anak. Sebagaimana dalam surah Al-Isra ayat 24 bermaksud:
“Rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah,”Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya, sebagaimana mereka berdua (menyayangiku ketika) mendidik aku pada waktu kecil.”-UTUSAN









