DUA kali kalah pilihan raya umum (PRU), memberi pengajaran UMNO harus belajar untuk kembali bangun membina era baharu yang lebih baik dalam mencipta sejarah masa hadapan negara bangsa ini.
Sejak penubuhannya pada 11 Mei 1946, UMNO adalah entiti yang sentiasa berevolusi berdasarkan kehendak dan keperluan semasa. Menjadi parti utama negara sejak merdeka sehingga dinoktahkan kepersadaannya pada Mei 2018, UMNO tidak pernah sunyi dari krisis dan tragedi.
Krisis pertama berlaku tidak sampai lima tahun penubuhannya apabila pengasas parti, Datuk Onn Jaafar meninggalkan UMNO.
Selain tamparan itu, tindakan Onn juga meninggalkan krisis kepimpinan apabila pemilihan Presiden UMNO diwarnai pertentangan antara golongan nasionalis sederhana dan ulama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melawan Ahmad Fuad Hassan.
Hasilnya, UMNO berpecah lagi apabila kumpulan Ahmad Fuad meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Islam se-Malaysia. Bayangkan, tidak sampai sedekad usianya, UMNO sudah mengalami krisis dan perpecahan.
Namun Perdana menteri pertama Malaysia itu menyusun dan memimpin UMNO sehingga berjaya menjadi tunggak utama dalam mendapatkan kemerdekaan negara yang telah dijajah selama beratus tahun.
Pengiktirafan sebagai Bapa Kemerdekaan dan kemenangan bergaya Perikatan (kini Barisan Nasional, BN) yang diterajui UMNO dalam PRU 1959 tidak menjadikan beliau kebal dari kritikan dan krisis.
UMNO adalah parti yang penuh dengan kualiti kepimpinan, idealisme perjuangan dan kesungguhan membangunkan negara. Maka tidak hairan sebahagian pemimpin UMNO bersifat pendesak dalam parti dan kerajaan.
Abdul Rahman berhadapan kritikan kuat dari Menteri Pertanian ketika itu, Abdul Aziz Ishak dan pemimpin UMNO seperti Tan Sri Syed Jaafar Albar dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Korban pertama adalah Abdul Aziz yang meletak jawatan pada 1963 setelah tidak lagi boleh bersama cara pemerintahan Abdul Rahman.
Penentangan terhadap dasar pentadbiran Abdul Rahman diteruskan oleh Syed Jaafar dan Dr. Mahathir. Akhirnya UMNO berhadapan krisis dalam PRU 1969 yang menyaksikan Dr. Mahathir dipecat dari UMNO. Tidak lama selepas pemecatan itu, Abdul Rahman pula ‘dipaksa’ meletak jawatan bagi membolehkan Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih kepimpinan.
Dengan kemasukan semula Dr. Mahathir, menyebabkan kepimpinan Abdul Razak yang berjaya menyatukan politik negara dalam PRU 1974 tidak kekal lama. UMNO adalah parti politik yang tidak mungkin aman sejahtera setiap masa.
Pemergian Abdul Razak membuka ruang kepada Tun Hussien Onn menerajui kepimpinan UMNO dan negara. Satu lagi krisis bermula apabila hero orang Melayu bandar, Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Harun Idris yang dianggap sebagai bakal perdana menteri didakwa atas tuduhan salah guna kuasa.
Ketika Harun dijatuhkan hukuman dan dipenjara, para penyokongnya beranggapan UMNO akan lumpuh dan hilang sokongan orang Melayu.
Era Dr. Mahathir juga tidak kurang cabaran dan liku yang menakutkan. UMNO berhadapan perbalahan kepimpinan pada 1987 yang mengakibatkan pengharaman dan kemunculan sebuah lagi parti Melayu Semangat 46.
Dalam banyak krisis, mungkin pada 1987 adalah krisis terbesar dan terburuk UMNO selain kekalahan dalam PRU 2018. Sebahagian kepimpinan kanan UMNO terkeluar daripada parti baharu. Di ketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah, mereka menerajui pakatan pembangkang yang kuat bagi mencabar hegemoni BN dalam PRU 1990. UMNO selamat dan teguh dipersada.
Namun sedekad kemudian, UMNO berdepan krisis lagi. Kali ini Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri dipecat dari parti dan kerajaan. Ratusan ribu orang berarak di atas jalan raya. UMNO dijangka kalah dalam PRU 1999, namun selamat dengan calar balar kecederaan moral.
Kemenangan besar dalam PRU 2004 hanya mengukuhkan UMNO buat seketika. Perbalahan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dr. Mahathir kemudiannya mencipta satu lagi krisis yang menyebabkan buat kali pertama UMNO dan BN hilang majoriti dua pertiga dalam PRU 2008.
UMNO kemudiannya berhadapan krisis lagi dengan pemecatan Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut sama terkorban ialah Naib Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang digantung (kemudiannya keluar parti) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Tahun 2018, tamparan lebih hebat, UMNO dan BN jatuh dari ‘takhta’. Ramai pemimpinnya berhadapan pendakwaan politik. Namun UMNO tetap UMNO, roh politik akar umbi yang sukar dimatikan.
UMNO yang tidak lama menjadi pembangkang kemudiannya kembali berada dalam kerajaan pada 2020 sehingga kini. Ini adalah satu bukti parti ini mampu untuk meneruskan kelangsungan politiknya jika mengubahsuai strategi yang betul sementara menunggu rejuvenasi sebenar. Namun rejuvenasi politik ini tidak mudah apabila ada penyokong dalaman tidak selesa dengan DAP tetapi tetap mahu UMNO terus berada dalam kerajaan.
Tidak cukup dengan itu, kontroversi Titah Addendum menambah luka UMNO. Ahli UMNO berpecah pendapat dan pendirian, akhirnya melemahkan UMNO.
Buat masa ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap UMNO masih merupakan blok politik yang penting dalam Kerajaan Perpaduan. Beliau memahami untuk mengekalkan kestabilan politik, UMNO harus memenangi majoriti kerusi yang mencukupi. Namun, persoalannya, adakah UMNO sudah cukup kuat dan mampu mampu mengekalkan pengaruhnya dalam kalangan rakyat Malaysia.
UMNO bernasib baik, dalam keadaan tersepit dan terpecah ini, parti pembangkang terutama Pas tidak berjaya menunjukkan kebolehan dan kemampuan mereka menjadi alternatif kepada UMNO.
Kenyataan kontroversi Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang bermimpi bertemu Rasulullah SAW, kekalahan ahli parlimennya dalam saman malu oleh DAP dan kegagalan negeri-negeri di bawah pentadbirannya menimbulkan keraguan dalam kalangan pengundi Melayu.
Namun sampai bila UMNO harus berharap pada nasib dan kelemahan seteru politiknya semata-mata.
BANGKIT
Pemimpin UMNO tidak boleh hanya berdiam diri. Mereka mesti mengembalikan kepercayaan rakyat dengan membuktikan parti ini masih mampu berperanan dalam Kerajaan Perpaduan.
Pada masa sama, usaha membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak mesti diteruskan. Namun, mestilah dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang supaya rakyat tidak menganggapnya sebagai tindakan politik sembrono yang tidak berhikmah.
Menjelang PRU16, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mesti diberi kepercayaan terus mengemudi UMNO dan memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Sekiranya UMNO ingin bangkit semula, ia mesti menunjukkan kecekapan dalam pentadbiran kerajaan, mengelakkan perpecahan dalaman akibat Titah Addendum, menjalankan reformasi dalaman untuk menarik semula sokongan rakyat serta menghadapi serangan politik daripada Pas dan pembangkang dengan strategi yang lebih tersusun.-UTUSAN
DATUK Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah bekas Ahli Parlimen Sungai Besar.










