KAMPALA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan penularan ‘Virus Sudan’ selepas kematian seorang jururawat berusia 32 tahun, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap penyebaran penyakit berjangkit dan berbahaya itu.
Menurut WHO, dua kelompok utama jangkitan dikesan, iaitu dalam kalangan ahli keluarga jururawat berkenaan serta di hospital tempatnya bekerja.
Setakat ini, sembilan kes disahkan, dengan wabak itu tidak mempunyai vaksin mahupun penawar yang diketahui.
Wabak Virus Sudan jarang berlaku, dengan penularan kali ini merupakan yang kesembilan sejak pertama kali dikenal pasti pada tahun 1976 di selatan Sudan.
Dalam satu kenyataan, Pakar Penyelidik Kanan dalam Kesihatan Global dari Universiti Southampton, Michael Head menjelaskan, Virus Sudan adalah sejenis penyakit yang menyerupai Ebola.
“Virus Sudan dan Ebola berasal dari keluarga orthoebolavirus, namun kedua-duanya mempunyai perbezaan dari segi protein serta komponen genetik. Oleh itu, vaksin Ebola tidak dapat memberikan perlindungan.
“Bagi menangani wabak ini, usaha sedang dijalankan untuk menggunakan calon vaksin serta rawatan antibodi monoklonal bagi menghalang virus daripada terus merebak dalam tubuh pesakit,” katanya kepada The Conversation.
Walaupun kes yang dilaporkan setakat ini hanya tertumpu di Uganda, terdapat kebimbangan bahawa wabak itu boleh merebak ke negara lain.
Michael turut menjelaskan perubahan iklim akan memberi kesan kepada penyebaran virus baharu dan penyakit berjangkit, termasuk Ebola, Virus Sudan dan Virus Crimea-Congo.
“Penyakit bawaan nyamuk seperti malaria dan demam kuning akan menemui habitat baharu, manakala denggi serta Virus West Nile kini semakin biasa di Eropah dan Amerika Utara. Kerjasama antarabangsa dalam menangani ancaman kesihatan global amat penting,” katanya.
Namun begitu, beliau memberi amaran ketidakstabilan serta dasar tidak konsisten oleh pihak berkepentingan utama seperti kerajaan Amerika Syarikat boleh menghalang usaha mengekang penyebaran wabak ini.- AGENSI










