Israel ugut sambung perang jika 3 tebusan tidak dibebaskan esok

Israel ugut sambung perang jika 3 tebusan tidak dibebaskan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel memberi amaran kepada Hamas perang di Gaza akan disambung semula jika kumpulan itu gagal membebaskan tiga tebusan hidup menjelang hujung minggu ini, meskipun Hamas menegaskan komitmennya terhadap perjanjian gencatan senjata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sumber Palestin mendakwa terdapat kemajuan dalam usaha menyelamatkan gencatan senjata yang kini berdepan krisis selepas Hamas enggan membebaskan tebusan pada Sabtu lalu, dengan alasan Israel melanggar perjanjian.

Israel pula membalas jika Hamas tidak membebaskan tebusan seperti yang dijadualkan, operasi ketenteraan akan diteruskan.

Perang berdarah itu telah berlanjutan lebih 15 bulan sebelum gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.

Jurucakap Hamas, Abdel Latif al-Qanou menegaskan, pihaknya berusaha melaksanakan perjanjian tersebut sambil mendesak Israel supaya mematuhi sepenuhnya syarat yang telah dipersetujui.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Israel, David Mencer, menegaskan Hamas mesti membebaskan tiga tebusan hidup menjelang tengah hari Sabtu ini atau gencatan senjata akan berakhir.

Hamas sebelum ini menuduh Israel melengah-lengahkan penghantaran jentera berat yang diperlukan bagi membersihkan runtuhan akibat peperangan.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran, keadaan akan menjadi ‘neraka’ jika Hamas gagal membebaskan semua baki tebusan menjelang tengah hari Sabtu ini.

Dalam fasa pertama gencatan senjata, Hamas dan Israel telah melakukan pertukaran tebusan secara berperingkat, tetapi rundingan mengenai fasa seterusnya masih menemui jalan buntu.

Serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 telah mengorbankan 1,211 orang, kebanyakannya orang awam, menurut statistik rasmi Israel di mana seramai 251 tebusan turut ditawan.

Sehingga kini, 73 daripadanya masih berada di Gaza, termasuk 35 yang disahkan telah meninggal dunia oleh tentera Israel.

Sebagai tindak balas, kempen ketenteraan Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 48,222 nyawa di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN