WASHINGTON: Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) menggesa Israel melepaskan Pengarah Hospital Kamal Adwan di Gaza, Dr. Hussam Abu Safiya sebagai pertukaran kepada pembebasan tebusan yang dirancang Sabtu ini.
Timbalan Pengarah Eksekutif CAIR, Edward Ahmed Mitchell menyifatkan tindakan menahan dan menyeksa seorang doktor yang berusaha menyelamatkan nyawa di Gaza sebagai amalan penjenayah perang genosid.
“Kami menggesa pentadbiran Presiden AS, Donald Trump untuk menuntut pembebasannya dan mengekalkan perjanjian gencatan senjata supaya semua tebusan dan tahanan politik dapat dibebaskan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.
Selasa lalu, Hussam memaklumkan kepada wakil undang-undangnya mengenai penyeksaan dan penderaan yang dialaminya sejak ditahan oleh tentera Israel 47 hari lalu.
Hussam dibenarkan bertemu dengan peguamnya buat kali pertama selepas beliau bersama beberapa petugas perubatan, pesakit dan orang awam dipaksa keluar dari hospital di utara Gaza pada 27 Disember 2024.
Menurut kenyataan Pusat Hak Asasi Manusia Al Mezan, dalam pertemuan itu, Hussam memperincikan pelbagai bentuk penyeksaan dan penderaan yang dialaminya sepanjang tempoh tahanan arbitrari oleh tentera dan pihak berkuasa Israel.
Hussam memaklumkan pada mulanya dibawa ke kem tahanan tentera Sde Teiman, di mana beliau dipaksa menanggalkan pakaian dengan tangannya diikat dan dipaksa duduk di atas batu kerikil tajam selama hampir lima jam oleh tentera Israel.
“Hussam mengalami penderaan fizikal yang teruk termasuk dipukul dengan belantan dan alat renjatan elektrik serta menerima hentakan berulang kali di bahagian dada,” kata kenyataan itu.
Pada 9 Januari lalu, Hussam dipindahkan ke Penjara Ofer, di mana beliau ditahan dalam kurungan bersendirian selama 25 hari.
Sepanjang tempoh itu, beliau turut menjalani sesi soal siasat yang berterusan selama 10 hari.
“Pada satu ketika, Hussam pengsan di dalam selnya akibat kesukaran bernafas yang teruk.
“Semasa sesi soal siasat, Hussam dihadapkan dengan pelbagai tuduhan yang beliau nafikan sekeras-kerasnya. Beliau menegaskan dirinya hanyalah seorang doktor yang bertugas memberikan rawatan perubatan kepada pesakit dan mereka yang cedera,” jelas kenyataan itu.
Beliau turut melaporkan kesihatannya merosot teruk dengan penurunan berat badan sehingga 12 kilogram (kg) dalam tempoh kurang dua bulan.
“Ini merupakan bukti tambahan tentang dasar kebuluran sistematik Israel terhadap tahanan Palestin.
“Selain itu, Hussam turut mendedahkan bahawa beliau menghidap pembesaran otot jantung.
“Walaupun berulang kali meminta rawatan perubatan daripada pihak berkuasa Israel, beliau dinafikan akses kepada pemeriksaan pakar dan tidak diberikan rawatan asas yang diperlukan sekali gus memburukkan lagi keadaan kesihatannya yang sudah sedia merosot,” tambahnya.-AGENSI











