KUALA LUMPUR: Kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,500 daripada RM1,300 satu tan metrik bermula Ahad ini.
Kenaikan itu bakal memberi manfaat kepada pesawah yang kini berdepan kenaikan kos pengeluaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi memastikan penyelarasan harga lantai belian padi tidak menjejaskan rakyat, kerajaan memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi, sekali gus memastikan harga jualan maksima beras putih tempatan (BPT) kekal RM2.60 sekilogram.
Beliau juga menyatakan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah.
“Saya juga ingin menyatakan penghargaan kepada Bernas yang telah bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan kebajikan pesawah terbela. Sebelum ini, Bernas telah menyalurkan RM60 juta kepada pesawah-pesawah miskin.
“Susulan pengumuman hari ini (semalam), saya telah menghubungi Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, dan Alhamdulillah beliau bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.
“Insya-Allah, kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah-pesawah miskin dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang akhbar di Parlimen berkata, kenaikan harga padi mengambil kira kenaikan kos upah, kos input pertanian termasuk baja dan racun serta impak kepada kos pengeluaran serta harga beras di pasaran.
Beliau berkata, kerajaan turut mengekalkan BPT pada harga RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.
Katanya, ia bagi memastikan keberadaan bekalan BPT sekitar 24 juta kampit 10 kilogram di pasaran.
“Berhubung perkara ini, kementerian sedang memperincikan kaedah pelaksanaan dan ia akan diumumkan setelah perincian dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, kerajaan bersetuju meminda Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) bagi meningkatkan penguatkuasaan ke atas pengilang, pemborong dan peruncit, sekali gus membendung kegiatan menukar beras tempatan menjadi beras import.
Katanya, Akta 522 masih longgar dan tidak cukup untuk membendung kegiatan tersebut, antara lain tidak menyenaraikan kesalahan mencampur beras tempatan dengan beras import.
Sebaliknya, ia hanya menetapkan tujuh jenis kesalahan antaranya menyorok beras dengan tujuan mewujudkan kekurangan bekalan, menjual beras secara borong atau runcit tanpa lesen serta menjualnya melebihi harga kawalan.
Mohamad berkata, kementeriannya juga sedang memuktamadkan perundingan bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk membolehkan penyedia perkhidmatan dalam industri padi dan beras juga layak menerima bantuan subsidi diesel di bawah Program Budi Madani.
Beliau turut memaklumkan, Perdana Menteri akan melancarkan Projek Infrastruktur Pengairan dan Saliran Pertanian di Kedah pada 27 Februari ini.
“Projek ini akan menyokong Program Penanaman Padi 5 Musim 2 Tahun yang menelan belanja sekitar RM1 bilion,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Jemaah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sungai Manik di Pasir Salak, Masrup Sukir berkata, kenaikan itu berpatutan dan menunjukkan kerajaan mengambil berat suara pesawah.
“Kami memang mengharapkan agar harga lantai belian padi dinaikkan. Bagi kami, ia kadar berpatutan walaupun penyelarasan tidak mencecah RM1,800 seperti yang diminta,” katanya.
Masrup berkata, kenaikan harga membolehkan pesawah menikmati pendapatan lebih tinggi ketika kos mengusahakan sawah semakin meningkat. – UTUSAN










