Penceritaan kisah Nabi Yusuf AS dalam al-Quran berbeza dengan kisah yang lain kerana di permulaannya Allah SWT berfirman, “Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan kami wahikan kepadamu al-Quran ini.” (Surah Yusuf: 3)
Terdapat beberapa pandangan maksud seindah-indah kisah. Pertama, kandungan kisah dalam Surah Yusuf penuh dengan pengajaran dan hikmah yang lengkap. Kedua, kesabaran Nabi Yusuf yang tinggi terhadap kelakuan dan tindak tanduk saudara-saudaranya dan memaafkan mereka.
Ketiga, pengakhiran kisah Nabi Yusuf dengan kebahagiaan selepas menghadapi mihnah dan ujian.
Permulaan kisah Nabi Yusuf ialah mimpi yang diceritakan kepada ayahnya, Nabi Yakub AS, “Ingatlah ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya, “wahai ayahku, sesungguhnya aku mimpi melihat 11 bintang dan matahari serta bulan. Aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku.” (Surah Yusuf: 4) Dan berakhir dengan sebuah doa, “Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, Engkau penguasa dan pelindungku di dunia dan di akhirat sempurnakanlah ajalku dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.” (Surah Yusuf: 101)
Jika meneliti bentuk peralihan peristiwa yang dipaparkan dalam kisah ini ia adalah lengkap. Setiap ujian yang dinyatakan berakhir dengan kejayaan. Nabi Yusuf pernah diperlakukan oleh saudara-saudaranya dengan mencampaknya ke dalam telaga namun ia berakhir dengan kemuliaan. Dari ketakutan berubah menjadi keamanan. Keluarga berantakan dengan perbalahan berakhir dengan mereka bersatu dan bermaafan.
Kesemua kejadian dalam kisah Nabi Yusuf perlu difahami dengan satu keyakinan bahawa Allah SWT maha berkuasa dan mengurniakan kepada manusia sesuatu anugerah meskipun seluruh manusia menentangnya.
Firman Allah, “Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yusuf: 21).
Allah SWT mengurniakan kepada Nabi Yusuf dengan mempunyai susuk tubuh yang cantik dan kacak. Baginda juga mempunyai kemuliaan harga diri yang tinggi. Apabila berlaku fitnah dengan isteri pembesar dan beberapa wanita, Nabi Yusuf telah memilih penjara dari terjebak dengan maksiat.
Penjara Nabi Yusuf adalah jalan untuk mencapai kemulian di dunia dan kejayaan di akhirat. Mimpi para anbiya adalah wahyu.
Di akhir kisah Nabi Yusuf, dengan rahmat Allah, baginda dilantik menjadi pembesar negara dan seluruh keluarganya termasuk ayahnya Nabi Yaakub datang kepadanya dan menunduk hormat kepadanya. Nabi Yusuf menjelaskan kepada ayahnya, “Wahai ayahku, inilah takbir mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Dia telah membawa kamu ke mari dari desa sesudah syaitan dengan hasutannya merosakkan hubungan antaraku dengan saudara-saudaraku.” (Surah Yusuf:100)
PENGAJARAN KISAH NABI YUSUF
Nikmat besar yang diperoleh sama ada dalam agama atau dunia mestilah didahului dengan sebab dan wasilah. Allah SWT telah menentukan sunnah ini dan ia tidak berubah. Sesuatu yang tinggi kedudukan hanya dapat dicapai dengan ilmu yang bermanfaat. Firman Allah SWT, “Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu dan akan mengajarmu takbir mimpi serta akan meyempurnakan nikmatnya kepadamu.” (Surah Yusuf:6).
Jauhilah dosa kerana kesannya cukup bahaya. Dosa yang satu boleh membiak. Inilah yang berlaku kepada saudara-saudara Nabi Yusuf ketika mereka bertindak memisahkan baginda daripada ayahnya.
Bermula dengan satu dosa tetapi mereka juga telah lakukan dosa-dosa yang lain seperti menipu dan membuang Nabi Yusuf ke dalam telaga. Berlainan dengan ketaatan yang membuahkan ketaatan yang lain dan mendapat manfaat kepada tuannya.
Ini menunjukkan berkat ketaatan dan betapa ruginya maksiat. Hamba yang soleh dan taat kepada Allah akan selalu meminta perlindungan daripada Allah dari melakukan maksiat.
Berlepas diri daripada kekuatan sendiri kerana hamba sangat lemah. Nabi Yusuf berkata, “Dan Jika engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmu.” (Surah Yusuf: 33)
Kemaafan Nabi Yusuf terhadap seluruh saudaranya yang melakukan komplot jahat kepadanya adalah satu sifat terpuji yang tinggi. Itulah sebenarnya amalan orang-orang soleh. Bahkan Nabi Yusuf tidak mengungkit atau menyebutnya agar mereka tidak terasa.
Nabi Yusuf hanya menyebut ujiannya di penjarakan. Manakala perbalahan dengan sudaranya disebut berpunca daripada syaitan. Ayat terakhir Surah Yusuf menjelaskan bahawa kisah ini mempunyai banyak pengajaran.
Golongan Ulul Albab mengambil ibrah dan pengajaran yang mendalam tentang kisah Nabi Yusuf. Kisah Nabi Yusuf AS ini adalah wahyu yang datang melalui lisan Nabi Muhammad SAW. Kisah ini adalah benar bukan pendustaan bahkan dia adalah menepati kitab-kitab samawi yang sebelumnya.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










