‘Kami yang pertama tanam vanila di Perlis’

‘Kami yang pertama tanam vanila di Perlis’

PASANGAN suami isteri, Zainuddin Zainul Abidin, 38 dan Nurul Aimi Syazana Baba, 32, menunjukkan pokok vanila yang diusahakan di kawasan rumah di Kubang Gajah, Perlis semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pasangan suami isteri dari Kampung Kubang Gajah di sini menjadi pencetus kepada tanaman pokok vanila pertama di negeri ini.

Di peringkat permulaan, Zainuddin Zainul Abidin,38, dan Nurul Aimi Syazana Baba,32, dengan bimbingan pengusaha vanila, Jaafar Mohamad, 69, menanam 70 pokok itu di kawasan kediaman mereka dan dijangka mampu menuai hasil selepas tempoh tiga tahun.

Nurul Aimi berkata, bagi mengusahakan tanaman vanila di peringkat permulaan, dia dan suami mengeluarkan modal sebanyak RM5,000 bagi penyediaan tempat dan anak pokok.

Pengusaha bertih jagung itu berkata, berkata, setiap pokok dijangka menghasilkan satu kilogram (kg) bahan perisa itu yang dijual pada kadar RM1,500.

Katanya, pokok vanila yang ditanam memerlukan masa tiga tahun untuk tempoh matang dan proses berbuah adalah setahun sekali selepas itu.

“Tanaman tersebut memerlukan air yang cukup sahaja. Ia selalunya ditanam di kawasan teduh dan lembab dengan penyediaan tanaman pokok menjalar spesis orkid tersebut membabitkan penggunaan tanah, sekam padi, daun buluh dan sabut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam,

Nurul Aimi berkata, dia dibimbing oleh pengusaha tanaman tersebut, Jaafar yang menyediakan pokok selain mengajar kaedah-kaedah serta cara mengurus tanaman.

Katanya, selepas ini, dia bercadang menambah lagi 30 pokok vanila tersebut memandangkan masih terdapat ruang di kawasan rumahnya.

“Vanila ini banyak kegunaan dan saya ingin membuat bertih jagung menggunakan perisa itu selepas ini. Selain itu, ia juga digunakan untuk roti, kek, kopi dan pelbagai lagi.

“Vanila juga mendapat permintaan cukup tinggi di dalam dan luar negara. Di Perlis, kami yang pertama mengusahakan tanaman ini,” katanya.

Jaafar yang mengusahakan tanaman vanila sejak 10 tahun lalu berkata, tanaman di Kelantan membabitkan 1,000 pokok menghasilkan 50kg kekacang vanila.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×