Korea Utara robohkan kemudahan pertemuan keluarga terpisah

Korea Utara robohkan kemudahan pertemuan keluarga terpisah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Utara dilaporkan merobohkan sebuah kemudahan di pusat peranginan Gunung Kumgang yang selama ini digunakan untuk mengadakan pertemuan keluarga terpisah akibat Perang Korea, menurut pegawai kerajaan Korea Selatan.

Tindakan itu dianggap sebagai satu lagi isyarat ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara berjiran itu.

Kementerian Penyatuan Korea Selatan menggesa Pyongyang agar segera menghentikan tindakan tersebut, yang dilakukan di lokasi berhampiran sempadan pesisir timur Korea Utara.

Bangunan setinggi 12 tingkat itu dibina pada tahun 2008 dengan peruntukan sebanyak 55 bilion won (RM153 juta) yang dibiayai oleh Korea Selatan dan dilengkapi sebuah dewan acara dengan lebih 200 bilik tetamu, menurut kementerian berkenaan.

Kali terakhir pertemuan penuh emosi antara keluarga terpisah yang berlangsung di kemudahan itu adalah pada Ogos 2018, sebelum Korea Utara mengancam untuk merobohkan pusat peranginan berkenaan setahun kemudian.

Sehingga Disember tahun lalu, terdapat lebih 130,000 rakyat Korea Selatan telah mendaftar untuk bertemu semula dengan ahli keluarga mereka di Korea Utara, namun hanya 36,941 orang masih hidup, menurut data kerajaan.

Menurut Kementerian Penyatuan, tindakan merobohkan kemudahan itu adalah satu perbuatan tidak berperikemanusiaan yang meranapkan harapan keluarga terpisah.

Pihaknya juga sedang mempertimbangkan langkah undang-undang serta tindakan bersama dengan masyarakat antarabangsa terhadap tindakan Pyongyang itu.

Gunung Kumgang merupakan salah satu daripada dua projek ekonomi utama yang pernah diwujudkan antara kedua-dua negara sebagai simbol perdamaian selepas Perang Korea 1950-1953, selain Zon Perindustrian Kaesong.

Namun, hubungan antara Korea Utara dan Korea Selatan terus tegang apabila Pyongyang bertindak meletupkan pejabat perhubungan bersama di Kaesong pada tahun 2020 selepas mendakwa pembelot dari Korea Selatan menghantar risalah propaganda ke wilayahnya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Korea Utara semakin agresif dalam retoriknya terhadap Korea Selatan dengan mengklasifikasikan negara jirannya itu sebagai negara musuh.

Tahun lalu, Pyongyang turut meletupkan beberapa bahagian jalan dan landasan kereta api di sempadan antara kedua-dua negara. –AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×