Keganasan terhadap kanak-kanak Palestin di Tebing Barat membimbangkan

Keganasan terhadap kanak-kanak Palestin di Tebing Barat membimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran mengenai peningkatan keganasan terhadap kanak-kanak di Tebing Barat, susulan operasi ketenteraan besar-besaran yang dilancarkan oleh rejim tersebut di wilayah berkenaan.

Pengarah Serantau UNICEF, Edouard Beigbeder, mendedahkan seramai 13 kanak-kanak Palestin terbunuh sejak awal tahun ini, termasuk tujuh mangsa yang terkorban selepas Israel melancarkan operasi berskala besar di utara Tebing Barat pada 19 Januari lalu.

Antara yang menjadi korban termasuk seorang kanak-kanak berusia dua setengah tahun, manakala ibu mangsa yang sedang hamil turut cedera dalam kejadian berkenaan.

“UNICEF mengutuk sekeras-kerasnya semua bentuk keganasan terhadap kanak-kanak dan menggesa supaya aktiviti ketenteraan di seluruh Tebing Barat yang diduduki dihentikan serta-merta.

“Semua orang awam, termasuk setiap kanak-kanak mesti dilindungi tanpa pengecualian,” kata Beigbeder dalam satu kenyataan dipetik Reuters.

Tambah beliau, penggunaan senjata letupan, serangan udara dan tindakan merobohkan kediaman di Jenin, Tulkarem serta Tubas termasuk di kem pelarian serta kawasan padat penduduk telah menyebabkan kemusnahan teruk terhadap infrastruktur penting, sekali gus menjejaskan bekalan air dan elektrik di wilayah berkenaan.

Sejak Hamas melancarkan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan tindak balas ketenteraan besar-besaran oleh Israel di Gaza, seramai 195 kanak-kanak Palestin dan tiga kanak-kanak Israel telah terbunuh di Tebing Barat, termasuk di Baitulmuqaddis Timur.

Data UNICEF menunjukkan angka kematian kanak-kanak Palestin di wilayah itu meningkat sebanyak 200 peratus dalam tempoh 16 bulan terakhir, berbanding tempoh sama sebelum ini.

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), seramai 224 kanak-kanak Palestin termasuk 218 lelaki dan enam perempuan terbunuh di Tebing Barat antara Januari 2023 hingga Januari 2025 akibat tindakan tentera Israel atau serangan oleh peneroka haram.

Jumlah itu hampir separuh daripada 468 kanak-kanak yang telah terbunuh di wilayah berkenaan sejak OCHA mula merekodkan jumlah korban pada tahun 2005.

Selain itu, lebih 2,500 kanak-kanak Palestin turut mengalami kecederaan di Tebing Barat antara Januari 2023 hingga Disember 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×