Trump 'paksa' Jordan terima rakyat Palestin

Trump ‘paksa’ Jordan terima rakyat Palestin

PRESIDEN AS, Donald Trump bersama Raja Jordan, Raja Abdullah II semasa pertemuan di Pejabat Oval Rumah Putih, di Washington, DC, pada Selasa lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendesak Raja Jordan, Raja Abdullah II supaya menerima rakyat Palestin yang akan dipindahkan secara kekal di bawah rancangannya untuk mengambil alih Gaza.

Meskipun berdepan desakan berkenaan, Raja Abdullah tetap menegaskan pendirian negaranya yang menentang rancangan tersebut.

Dalam pertemuan dengan Raja Abdullah di Rumah Putih kelmarin, Trump memberi isyarat bahawa beliau tidak akan berganjak dengan ideanya, melibatkan pemindahan penduduk Gaza yang terkesan akibat peperangan dan mengubah wilayah musnah itu menjadi ‘Riviera Asia Barat’.

Ia adalah pertemuan pertama kedua-dua pemimpin berkenaan sejak Trump mengumumkan cadangan mengambil alih wilayah itu dan memindahkan dua juta penduduk Palestin ke negara lain, termasuk Jordan.

Jordan, sekutu utama AS di Asia Barat, sudah pun menampung jutaan rakyat Palestin dan menolak cadangan tersebut.

Trump mencetuskan kemarahan dunia Arab selepas kenyataannya untuk tidak mengembalikan rakyat Palestin ke tanah air mereka di bawah cadangannya membangunkan semula Gaza, yang musnah akibat serangan Israel.

“Kami akan mengambil, mengawal dan menghargainya. Kami akan menjadikannya berfungsi, di mana banyak pekerjaan akan diwujudkan untuk rakyat di Asia Barat,” kata Trump di Pejabat Oval, Washington, kelmarin.

Raja Abdullah hanya duduk diam di sebelah Trump ketika presiden itu mengulangi ideanya yang akan mengubah dasar AS selama beberapa dekad dan berpotensi melanggar undang-undang antarabangsa.

Bagaimanapun, selepas pertemuan itu, Raja Abdullah kembali menegaskan pendirian teguh Jordan menentang pemindahan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

“Ini adalah pendirian bersatu dunia Arab. Keutamaan semua pihak adalah seharusnya membina semula Gaza tanpa memindahkan rakyat Palestin serta menangani krisis kemanusiaan yang semakin buruk,” katanya dalam hantaran di X.

NAFI EKSPLOITASI SOKONGAN

Meskipun dengan pendirian rakan sejawatannya itu, Trump yakin Jordan dan Mesir akhirnya akan bersetuju untuk menempatkan penduduk Gaza, memandangkan kedua-dua negara bergantung kepada Washington untuk bantuan ekonomi serta ketenteraan.

“Saya percaya kita akan mempunyai sebidang tanah di Jordan. Saya juga percaya kita akan mempunyai sebidang tanah di Mesir,” kata Trump.

Beliau yang sebelum ini membayangkan kemungkinan menggantung bantuan kepada Jordan, menafikan mengeksploitasi sokongan itu sebagai alat tekanan.

“Kita menyumbang banyak wang kepada Jordan, dan juga kepada Mesir. Tetapi saya tidak perlu mengancam dengan itu, kerana kita berada di tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Walaupun kedua-dua pemimpin kelihatan mesra, kenyataan Trump mengenai Gaza meletakkan Raja Abdullah dalam kedudukan yang sukar, memandangkan hak rakyat Palestin merupakan isu sensitif.

Presiden AS itu seolah-olah cuba mendorong Raja Abdullah untuk menyatakan penerimaan Jordan kepada pemindahan rakyat Palestin dari Gaza.

Raja Abdullah sebaliknya menegaskan akan melakukan yang terbaik untuk negaranya, termasuk Jordan hanya akan menerima 2,000 kanak-kanak Palestin yang sakit bagi mendapatkan rawatan- satu tawaran yang dipuji oleh Trump.

“Perkara utama adalah mencari jalan penyelesaian yang baik untuk semua pihak,” katanya dengan nada kurang selesa dan tanpa secara jelas menyokong atau menolak rancangan Trump.

Jordan sudah pun menempatkan berjuta-juta pelarian Palestin yang dipaksa meninggalkan tanah air mereka ekoran penubuhan Israel sejak 1948.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa pemindahan paksa penduduk dari wilayah yang diduduki adalah sebahagian daripada pembersihan etnik dan dilarang di bawah undang-undang antatabangsa.

Semasa pertemuan kelmarin, Trump kelihatan mengelak daripada menjawab soalan mengenai amaran PBB itu.

“Kami memindahkan mereka ke lokasi di mana mereka boleh mendapat rumah baru, hidup dengan selamat, mendapatkan rawatan perubatan dan semua keperluan lain,” katanya.– BBC/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×