Ahli akademi mesti proaktif dalam memberikan pandangan

Ahli akademi mesti proaktif dalam memberikan pandangan

PRODUK minyak aroma terapi yang dijalankan hasil penyelidikan Pensyarah Kolej Komuniti Batu Gajah, Farah Nadia Murad. Ahli akademik boleh menyumbang terus kepada pihak industri seperti penemuan baharu, perkhidmatan cekap, model perniagaan dan produk baharu yang mempelbagaikan ekonomi serta daya saing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini kerajaan memberi jaminan akan mengambil serius pandangan daripada semua sektor bagi memacu pertumbuhan yang lebih baik untuk Malaysia.

Perdana Menteri menyarankan pemimpin-pemimpin Kabinet umpamanya mesti mengambil sikap terbuka, keluar daripada pemikiran kepompong lama, apa sahaja yang boleh menjadikan Malaysia negara maju, tidak ketinggalan.

Pandangan dan teguran semua pihak boleh dianalisis dengan teliti, cepat dan tepat untuk diguna pakai dalam semua aspek dan pendekatan yang sesuai. Teknologi terkini kecerdasan buatan (AI), boleh membantu dengan cepat menganalisis maklumat yang pelbagai daripada semua pihak, masyarakat biasa, ahli politik, ahli akademik dan pihak industri.

Kedudukan negara yang strategik dari segi sejarah dan keadaan semasa di dunia, menjadikan Malaysia sebuah negara penting di rantau ini yang boleh menarik pelabur asing dalam pelbagai bidang termasuk tenaga dan digital.

Sejarah Melaka dalam perdagangan rempah menjadi tarikan pemain industri dunia boleh menjadi panduan pertumbuhan ekonomi negara. Selat Melaka yang popular sehingga sekarang sebagai laluan perdagangan utama dunia menghubungkan timur dan barat. Terutamanya Jepun, Korea, China serta negara-negara lain mendapat faedah besar daripada Selat Melaka dalam pertukaran barangan perniagaan dan petroleum daripada negara-negara Timur Tengah.

Malaysia sepatutnya tidak melihat sahaja kepentingan Selat Melaka yang sudah tentu dapat manfaatkan Semenanjung Tanah Melayu.

Ahli akademik dahulu banyak mengkaji sejarah Melaka, kesultanan Melaka, kedatangan Islam serta lain-lain perbincangan berkaitan penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris selain kekuatan pahlawan Melayu dalam mempertahankan kedaulatan negara, agama mahupun budaya. Sejarah yang dikaji tidak diselesaikan secara objektif menyentuh jati diri dan ekonomi.

Mungkin AI boleh membantu mencadangkan pencapaian kajian sejarah dan kejayaan ekonomi bangsa serta arah tuju selanjutnya dalam menghadapi persaingan global yang tiada sempadan lagi. Teknologi baharu mungkin boleh memberitahu kegagalan perjuangan, konflik dalam maklumat sejarah, undang-undang dan perlembagaan serta kepentingan negara dan masyarakat. Analisis maklumat yang tidak bersepadu membuatkan pembangunan negara tidak selari antara ekonomi dan jati diri, alam sekitar, pembangunan, kesejahteraan rakyat dan perpaduan.

Perdana Menteri juga menekankan tidak semua persoalan mempunyai jawapan yang tepat. Justeru itu, semua pihak boleh memberikan pandangan terutamanya dalam kalangan ahli akademik. Saranan ini perlu diambil kesempatan secara positif dan proaktif oleh ahli akademik negara.

Ahli akademik melalui pengetahuan asas yang kuat dalam sesuatu bidang dan hasil kajian berkaitan kepakaran mereka boleh menyumbang dalam pelbagai industri sama ada peringkat asas atau yang lebih kompleks dan bersepadu.

Pengalaman mereka dalam perkongsian ilmu di peringkat tempatan dan antarabangsa sudah tentu mempunyai idea yang boleh dimanfaatkan negara. Melalui percambahan idea dan perkongsian hasil kajian boleh membantu menjawab segala persoalan.

Saranan dan pengiktirafan Perdana Menteri ke atas ahli akademik perlu diambil iktibar dan tindakan sewajarnya.

Sumbangan ahli akademik dan pakar-pakar boleh dilaksanakan melalui gabungan pengalaman dan cabaran yang dihadapi pihak industri, perniagaan, pentadbiran dan masyarakat amnya.

Cadangan dan jawapan boleh membantu dalam menyelesaikan masalah atau membuat pembetulan terhadap kesilapan, ketidaktepatan, ketidaksempurnaan atau kepincangan dalam mencapai pembangunan negara.

Pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan penyelidikan bersama industri melalui program latihan industri mahasiswa universiti, boleh menjadi laluan penyelesaian masalah yang dihadapi. Ahli akademik mesti menterjemahkan ilmu dan hasil kajian kepada industri dan masyarakat. Segala aktiviti pengajaran dan penyelidikan tidak sahaja berakhir di bilik kuliah dan penerbitan dalam jurnal terkemuka di dunia.

Ahli akademik sebenarnya sangat berpengaruh dalam pertumbuhan ekonomi sesebuah negara melalui sumbangan pembangunan modal insan. Melalui pengajaran, penyelidikan dan inovasi dapat menghasilkan tenaga manusia berkemahiran yang boleh memandu kemajuan teknologi dan produktiviti dalam pelbagai sektor.

Pengetahuan, inovasi dan kemahiran tinggi tenaga kerja boleh memainkan peranan penting dalam industri dan mampu menghadapi keadaan yang kompleks dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Melalui proses pengajaran, penyelidikan dan jaringan dengan industri dan masyarakat membolehkan ahli akademik lebih proaktif dalam memberikan idea masa hadapan dan boleh dirujuk oleh pelbagai pihak.

SUMBANGAN KEPADA INDUSTRI
Selain daripada menghasilkan tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran, penyelidikan akademik selalunya boleh menyumbang terus kepada pihak industri seperti penemuan baharu, perkhidmatan cekap, model perniagaan dan produk baharu yang mempelbagaikan ekonomi serta daya saing. Modal insan yang dihasilkan boleh menjadi usahawan yang kompetitif dan meransang aktiviti ekonomi negara.

Rantaian sumbangan ahli akademik boleh juga menyumbang kepada penambahbaikan polisi negara dalam sesuatu bidang dan membantu keberkesanan pembuat keputusan.

Keberkesanan pengajaran, penyelidikan dan kerjasama dengan industri dalam universiti dapat menarik lebih ramai bakat baharu ke institusi pendidikan tinggi.

Keyakinan dalam mendapatkan ilmu pengetahuan, mendapat pekerjaan yang berpendapatan tinggi, menjadi usahawan yang berjaya akan mengkayakan bakat intelektual negara.

Pengaruh ahli akademik sangat penting dalam pembangunan bakat, tenaga manusia berkualiti dan mampu melaraskan keperluan pasaran di samping pembangunan ekonomi tempatan dan global.

Semua ahli akademik dan persatuan akademik di universiti mesti menyambut semangat keterbukaan Perdana Menteri dengan lebih fokus melalui wacana, penulisan dan aktiviti akademik lain di pelbagai platform.-UTUSAN

DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×