Jumpa bom Perang Dunia Kedua di taman permainan

Jumpa bom Perang Dunia Kedua di taman permainan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ratusan bom tidak meletup yang dipercayai berasal dari era Perang Dunia Kedua ditemukan di sebuah taman permainan kanak-kanak di utara England, susulan penemuan secara tidak sengaja oleh pekerja penyelenggaraan.

Pihak berkuasa tempatan di Wooler, Northumberland memanggil pakar pemusnah bom selepas pekerja yang terlibat dalam kerja baik pulih di taman permainan tersebut menemukan bahan letupan yang tidak meletup, menurut kenyataan majlis perbandaran, kelmarin.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Britain memaklumkan dua bom pada awalnya dikeluarkan oleh pihak tentera, sebelum majlis perbandaran dinasihatkan untuk menjalankan tinjauan penuh di kawasan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Syarikat pemusnah bom, Brimstone Site Investigation, yang ditugaskan untuk mencari bom tersebut kemudian menemui sebanyak 65 bom latihan seberat 4.5 kilogram (kg)  serta kartrij asap pada hari pertama kerja penggalian, manakala 90 lagi ditemukan pada hari kedua.

Menurut syarikat berkenaan, kesemua bom tersebut dipercayai berasal dari zaman Perang Dunia Kedua dan sehingga sekarang, sebanyak 174 peranti letupan ditemukan.

“Walaupun bom ini dikategorikan sebagai bom latihan, ia masih mengandungi bahan letupan.

“Memandangkan jumlahnya yang banyak, semua bom ini perlu dikeluarkan oleh pakar untuk memastikan kawasan taman permainan ini benar-benar selamat untuk para kontraktor dan akhirnya pengguna,” kata majlis perbandaran dalam satu kenyataan.

Majlis perbandaran turut memaklumkan kerja-kerja penggalian lanjut akan dilakukan bagi memastikan taman permainan itu benar-benar bebas daripada bahan letupan tidak meletup sebelum pemasangan peralatan baharu dimulakan.

Penemuan bahan letupan tidak meletup di England bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana pada Februari tahun lepas, ribuan penduduk di Plymouth, barat daya England, terpaksa dipindahkan selepas pihak berkuasa menemui sebutir bom seberat 500 kilogram di sebuah taman perumahan.

Pihak berkuasa memberi jaminan langkah-langkah keselamatan akan terus dipertingkatkan bagi mengelakkan sebarang insiden yang membahayakan orang awam. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN