Perjumpaan bulanan platform strategik pastikan hala tuju negara

Perjumpaan bulanan platform strategik pastikan hala tuju negara

PERJUMPAAN bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bukan sekadar sesi pertemuan biasa tetapi merupakan satu platform strategik untuk memastikan hala tuju negara berada di landasan yang betul.- FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJUMPAAN bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) merupakan inisiatif penting dalam memastikan komunikasi dua hala yang berkesan antara kepimpinan tertinggi negara dan penjawat awam.

Melalui sesi ini, komunikasi dapat ditingkatkan apabila ia mewujudkan hubungan langsung antara Perdana Menteri dan warga JPM bagi menyampaikan amanat mengenai hala tuju serta bagi memberi garis panduan dalam mempertingkatkan kecekapan tadbir urus negara.

Perjumpaan bulanan begini juga membolehkan apa sahaja isu pentadbiran dapat ditangani selain ia menjadi medan membincangkan cabaran semasa dalam pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan peraturan untuk memastikan tadbir urus yang telus serta berkesan.

Selain itu ia juga berfungsi untuk memastikan semua penjawat awam memahami serta melaksanakan dasar kerajaan secara efektif di samping meningkatkan motivasi dan kesedaran mereka dalam melaksanakan tugasan masing-masing.

Apa yang lebih penting lagi ialah perjumpaan bulanan begini merupakan satu medan bagi mengiktiraf peranan penjawat awam dalam pembangunan negara serta menekankan pentingnya integriti dalam perkhidmatan awam.

Dalam perjumpaan pada 10 Februari lalu contohnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan aspek persiapan negara dalam menghadapi cabaran semasa, penguatkuasaan tatakelola kerajaan dan kecekapan penjawat awam dalam menjalankan tugas.

Dalam ucapannya pada hari tersebut, Perdana Menteri menyentuh beberapa aspek utama termasuk persiapan menyambut Ramadan dalam konteks negara madani. Perdana Menteri menekankan Ramadan bukan sekadar ibadah puasa tetapi juga  proses memperkukuh disiplin, nilai kerohanian dan keprihatinan terhadap masyarakat.

Perdana Menteri menegaskan pemahaman mendalam mengenai nilai Ramadan perlu disemai dalam kalangan penjawat awam sebagai sebahagian daripada falsafah negara. 

Beliau berkata, Ramadan itu harus disambut dengan persiapan, sekurang-kurangnya mengulangi dan membaca makna, khasiat dan mesej risalah mengenainya supaya penghayatannya lebih bermakna.

Perdana Menteri juga bercakap panjang mengenai aspek penguatkuasaan tatakelola dan kecekapan pentadbiran dalam mana beliau menegaskan keperluan untuk memperbaiki sistem pentadbiran serta penguatkuasaan di pelbagai peringkat.

Ini termasuklah peningkatan sistem penguatkuasaan yang lebih cekap dari Kuala Lumpur sehingga ke kota-kota lainnya termasuk di pintu-pintu masuk utama negara seperti di lapangan terbang dan pelabuhan bagi memastikan keberkesanan operasi.

Perdana Menteri seterusnya mengutarakan mengenai perlunya tindakan tegas terhadap ketirisan seperti penyalahgunaan lesen perniagaan di bazar Ramadan yang menghalang peniaga kecil daripada mendapat peluang yang adil.

Beliau seterusnya memberi penegasan terhadap keadilan dalam pemberian lesen supaya lesen dipasti hanya diberikan kepada individu yang benar-benar menjalankan perniagaan tanpa perantara yang mengaut keuntungan secara tidak sah.

Dalam konteks ini, Perdana Menteri mengarahkan: “Kalau ada persatuan yang ambil puluhan ringgit untuk pengawasan dan kebersihan itu saya faham, tetapi apabila lesen dijual semula, itu sudah menyalahi peraturan. Kalau dia pindahkan lesen itu, batal segera serta-merta.”

Sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025, Malaysia bertanggungjawab untuk menganjurkan ratusan program sepanjang tahun. Untuk itu, Perdana Menteri juga bercakap mengenai peranan dan dedikasi penjawat awam dalam memastikan persiapan rapi bagi melaksanakan program-program antarabangsa, khasnya membabitkan ASEAN.

Beliau turut mengingatkan agar semua program dijalankan dengan penuh kecekapan dan profesionalisme. Beliau berkata, “Kita bukan sekadar mempengerusikan ASEAN, tetapi kita mahu memastikan segala program dianjurkan dengan tahap kecekapan yang tinggi dan memberi impak yang bermakna kepada rantau ini.”

Selain itu, Perdana Menteri juga menzahirkan penghargaan terhadap komitmen penjawat awam yang bertugas di luar waktu kerja, terutama dalam memastikan persiapan bagi lawatan pemimpin luar negara seperti Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Beliau berkata, “Hal ini tidak masuk dalam berita bahawa pada hujung minggu, ratusan penjawat awam masih bekerja bertungkus-lumus untuk memastikan nama negara berada di tahap terbaik, persiapan rapi dan orang melihat tahap kecekapan kita yang tinggi. Saya salute kepada semua saudara-saudara yang bertugas dengan begitu baik.”

Seterusnya, Perdana Menteri juga menggariskan kepentingan pemantauan rapi terhadap projek-projek kerajaan termasuk penyelesaian isu kemiskinan tegar, dengan arahan agar penyelesaian segera dilakukan ke atas kes-kes tertentu di negeri seperti Perak dan Wilayah Persekutuan.

Perdana Menteri memberi contoh, “Saya sempat menelefon Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), JPM, hampir tengah malam untuk memastikan pemantauan terhadap projek-projek, terutama berkaitan kemiskinan tegar. Sekecil mana pun isu ini, ia tetap besar bagi keluarga yang terjejas.”

Begitu juga pelaksanaan projek-projek, terutamanya projek-projek tebatan banjir, di mana beliau meminta kalau boleh Perbendaharaan beri kelonggaran supaya dapat dipercepatkan melalui peruntukan segera dan juga proses pre-queue yang lebih cepat. Sebaiknya kita gunakan tender, tetapi tender itu diminta dipercepatkan bagi mengurangkan impak bencana banjir kepada rakyat yang terkesan.

KOMITMEN TINGGI

Perjumpaan bulanan ini membuktikan keseriusan kerajaan dalam memastikan pentadbiran yang berkesan dan telus. Ia membantu dalam menetapkan keutamaan pentadbiran, meningkatkan akauntabiliti, mengiktiraf peranan penjawat awam serta memperkukuh peranan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga JPM bukan sekadar sesi pertemuan biasa tetapi merupakan satu platform strategik untuk memastikan hala tuju negara berada di landasan yang betul.

Dengan penekanan kepada tatakelola yang baik, kecekapan pentadbiran serta pengiktirafan terhadap usaha penjawat awam, sesi ini membuktikan kepentingan komunikasi langsung dalam membentuk pentadbiran yang lebih berdaya saing dan inklusif.

Kehadiran tanpa gagal Perdana Menteri sendiri dalam sesi-sesi perjumpaan bulanan ini sekali gus memberi gambaran mengenai komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh beliau terhadap pembaharuan dan keberkesanan perkhidmatan awam di Malaysia.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zaid Ahmad ialah Felo Utama Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Setiausaha Agung Persatuan Sejarah Malaysia (PSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×