PUTRAJAYA: Israel harus bertanggungjawab sepenuhnya di atas kehancuran bumi Gaza yang kerugiannya dianggarkan sekitar AS$100 bilion, kata Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Erdogan berkata, Israel mesti membayar harga atas kemusnahan yang mereka lakukan di Gaza dan proses pembinaan semula wilayah itu mesti dimulakan dengan dana itu.
“Israel dan kerajaan Netanyahu mesti bertanggungjawab atas kehancuran ini. Setiap kemusnahan yang tidak diberi pampasan hanya akan menjadikan pelakunya semakin ganas.
“Setelah menyebabkan begitu banyak kehancuran, penderitaan, dan kekejaman, Israel tidak boleh dibiarkan terus bertindak seolah-olah tiada apa yang berlaku,” katanya dalam Syarahan Umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
Program itu diadakan sempena lawatan kerjanya ke negara ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berucap pada syarahan tersebut.
Menurut Erdogan, daripada mencari tempat untuk rakyat Gaza yang gagal mereka usir walaupun selepas 15 bulan pembantaian, Netanyahu sepatutnya mencari sumber untuk membayar ganti rugi sebanyak AS$100 bilion kepada Gaza.
Katanya, cadangan untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah yang telah mereka diami selama ribuan tahun tidak boleh diterima.
“Dengan izin Allah, tiada sesiapa yang boleh dan akan mampu mencetuskan satu lagi NAKBA ke atas rakyat Palestin,” katanya.
Katanya, selama 471 hari, dunia telah menyaksikan kejatuhan besar nilai kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.
Dalam tempoh itu, katanya, dua juta orang yang terperangkap di kawasan seluas 360 kilometer persegi mengalami salah satu pembunuhan beramai-ramai paling kejam dalam abad ini.
“Namun, rakyat Gaza tetap teguh mempertahankan maruah mereka, tidak tunduk kepada penjajah, dan tidak meninggalkan tanah air mereka,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan Erdogan benar-benar bertindak dan menunjukkan ketegasan moral serta berani dalam memperjuangkan isu Palestin.
Katanya, Erdogan dengan lantang bersuara menentang perampasan, penjajahan, dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin ketika ramai pemimpin lain sanggup mengorbankan prinsip demi kepentingan sendiri.
“Ketika yang lain masih ragu-ragu, beliau tetap berpendirian teguh. Dengan tumpuan dunia yang semakin meningkat, beliau memastikan bahawa sokongan terhadap Palestin diterjemahkan kepada tindakan yang bermakna,” katanya.
Dalam pada itu Erdogan berkata, Turkiye berhasrat untuk membangunkan hubungan dengan Malaysia berdasarkan visi kerjasama teknologi dan pengeluaran bersama.
Katanya, kerjasama itu bakal membuahkan hasil terutama melibatkan industri penerbangan Turkiye-Malaysia yang mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 100 jurutera muda Malaysia.
Beliau berkata, dengan kerjasama syarikat industri pertahanan Turkiye, pembinaan kumpulan kedua Kapal Misi Littoral sedang dijalankan.
“Kami mempunyai kerjasama yang ketara mengenai pesawat udara tanpa pemandu, ANKA UAVs.
“Dari segi jumlah nilai dagangan bersama melebihi AS$5 bilion pada 2024 selaras dengan sasaran yang kami tetapkan. Kami menyasarkan untuk meningkatkan perdagangan sehingga AS$10 bilion dengan cara yang seimbang,” ujarnya.
Erdogan berkata, Turkiye turut berhasrat meningkatkan usaha bersama pelbagai bidang termasuk teknologi semikonduktor kepada automotif, teknologi pesawat kepada simulator awam.
Jelasnya, Turkiye dan Malaysia mempunyai ciri unik sebagai pintu masuk ke Asia dan Eropah, justeru adalah lebih baik kedua-dua negara dapat mengukuhkan lagi sektor udara dan penerbangan.
“Lapangan terbang kedua terbesar kami dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Malaysia. Saya menganggap langkah bersama kita dalam alam sivil sangat berharga,” katanya.
Menyedari kepentingan Asia yang semakin meningkat, Erdogan berhasrat untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama menerusi inisiatif ‘ASIA ANEW’, yang telah mencapai kemajuan sejak lima tahun lalu.
Pada masa sama, Erdogan menjemput pelajar-pelajar dari Malaysia untuk mengikuti pengajian di negara tersebut sebagai usaha kedua-dua negara membentuk generasi baharu.
Sementara itu, Erdogan dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Hubungan Antarabangsa oleh Universiti Malaysia (UM), sebagai mengiktiraf sumbangan besar beliau kepada diplomasi dan rundingan antarabangsa.
Ijazah Kehormat itu disampaikan oleh Canselor UM, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat konvokesyen khas di PICC.
Erdogan berkata, beliau amat berbesar hati menerima anugerah berprestij yang berfungsi sebagai pemangkin untuk menggalakkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye. – UTUSAN










