Transalp 750: Sahih bukan untuk penunggang poyo!

Transalp 750: Sahih bukan untuk penunggang poyo!

MOTOSIKAL ini dijual pada harga bermula dari RM56,800.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JENAMA motosikal Honda memang banyak menghasilkan lagenda-lagenda dalam dunia dua roda.

Dari seringkas-ringkas Honda Cub, ke motosikal touring Gold Wing, Honda sentiasa menghasilkan produk yang sinonim dengan kehendak sasaran pelanggannya.

Produk-produk Honda bukan yang paling ekstrem, tetapi lebih kepada sebuah motosikal yang boleh menggembirakan hati ramai di dalam sesuatu genre dan antara contohnya ialah Honda Transalp.

Transalp ialah model yang sudah berusia 38 tahun, bermula dengan XL400 di dalam tahun 1987 yang direka bukan untuk bersaing dengan jentera motocross, tetapi untuk mereka yang mahukan motosikal dua alam (dual purpose) bagi kegunaan di atas jalan berturap dan tidak (offroad).

Boon Siew Honda Malaysia membawa masuk Transalp XL750 generasi terkini bermula tahun lalu dan walaupun model ini tidak begitu dikenali di negara ini, bagi peminat dual purpose, ia adalah satu ‘hadiah’ kepada mereka yang setia dengan Honda.

Dijana oleh enjin generasi terbaharu, enjin sejukan cecair satu dua selinder sebaris SOHC dengan sesaran 755cc itu menghasilkan 90.5hp dan 75 Nm. Kesemua tenaga itu disalurkan ke roda belakang melalui transmisi enam kelajuan yang lengkap dengan slipper clutch.

Roda hadapan bersaiz 21 inci digabungkan dengan fork Showa dengan gerakan atas-bawah sebanyak 200 milimeter (mm). Ini memang sesuai dengan fungsi offroad Transalp.

Di belakang pula ialah roda 18-inci yang disambungkan dengan lengan ayun Pro-Link yang mengasingkan beban pada peredam Showa tunggal dari kerangka, memberikan cengkaman dan rasa tunggangan yang lebih mantap untuk laluan bertar pada kelajuan tinggi.

Enjin dua selinder itu pula menggunakan aci engkol dengan sudut 270 darjah, menghasilkan karektor ‘V-twin’ dari segi bunyi dan lebih penting lagi, kadar daya kilas yang mula masuk mencurah dari putaran enjin yang rendah.

Teknologi kerangka, sistem gantungan, sudut fork hadapan, titik tengah graviti dan kedudukan menunggang adalah elemen-elemen yang menjadi fokus utama kepada Transalp baharu ini kerana menurut Honda, ia mahukan Transalp memberikan keseimbangan menunggang yang terbaik untuk setiap lapisan penunggang.

Ini terbukti bila penulis menunggang Transalp ini dari Kuala Lumpur ke Sedili, Johor, satu perjalanan sejauh hampir 400 kilometer (km) melalui lebuhraya dan jalan persekutuan.

Di atas lebuh raya, ia mampu mencapai kelajuan tinggi tanpa sebarang gegaran atau goyang pada roda hadapan bersaiz 21 inci itu.

Mod tunggangan Sport (ada lima mod – Rain, Sport, Standard, Gravel dan User) adalah pilihan terbaik bagi tunggangan sporty di laluan berliku kerana ia bukan hanya memberikan keyakinan, tetapi kadar daya kilas yang masuk lancar bila penulis memulas pendikit untuk keluar dari selekoh-selekoh.

Informasi dari sistem elektronik dipaparkan dengan terang dari skrin LCD TFT lima inci dan dikawal melalui butang-butang pada hendal sebelah kiri.

Bila hujan, mod Rain menurunkan kadar tenaga dari enjin dan meningkatkan kawalan HSTC (Honda Selectable Torque Control).

Setibanya di Tiger Base Camp di Sedili, tempat perkhemahan yang turut menjadi tumpuan peminat motosikal dua alam, mod Gravel dipilih untuk membenarkan ABS belakang ditutup supaya penulis boleh mengunci roda di atas pasir.

Bagi tunggangan offroad yang lebih ekstrem, mod User paling menepati kehendak penunggang kerana ia boleh ditala menurut keperluan individu.

Contohnya, penulis menutup terus kawalan traction HSTC dan prestasi enjin dipilih pada kadar maksimum untuk kawalan manual maksimum.

Tinggi pelana pada 850 mm dan berat keseluruhan cuma 208 kilogram (kg) menjadikan Transalp ini cukup mudah dan meyakinkan di laluan tepi pantai.

Tangki bahan api sebesar 16.9 liter dengan mudah mencapai jarak tunggang lebih dari 350 km dan menjadikan perjalanan jauh lebih mudah.

Sayangnya, Honda memberikan fokus kepada harga yang rendah untuk kategori ini pada RM56,800 kerana ia cukup rendah untuk sebuah dual purpose dari jenama tersohor.

Mungkin kerana harga serendah itu, ia kurang dari segi aksesori – tidak ada port USB atau 12V, skrin hadapan tiada pelaras, roda aloi bukan dari jenis tanpa tiub, tidak ada centre-stand atau tongkat tengah dan reka bentuk yang terlalu minimalistik.

Ketiadaan kesemua itu sebenarnya tidak begitu menjadi masalah kerana aksesori tersebut ada banyak di dalam pasaran. 

Sebagai sebuah jentera lagenda, syarikat-syarikat aksesori terkenal sudah siap sedia menawarkan segala kelengkapan tambahan untuk Transalp ini.

Cuma bagi ramai peminat motosikal alaf sekarang yang lebih teruja dengan reka bentuk dan fungsi, Transalp mungkin dilihat sebagai sebuah jentera yang terlalu kosong.

Kejelitaan Transalp 750 ini sebenarnya lebih kepada karektor dan keseimbangan tunggangan, dua ciri yang hanya boleh dirasai oleh peminat tulen motosikal.

Untuk penunggang poyo yang lebih ke arah sesuatu yang superfisial, mereka sememangnya di dalam kerugian.

 

Honda Transalp XL750

Enjin: 2 silinder sebaris SOHC sejukan cecair 8 injap 270-degree crank

Kuasa maksimum: 90.5 hp @ 9,500 rpm 

Daya kilas maksimum: 75 Nm @ 7,250 rpm

Transmisi: 6 kelajuan dengan ‘slipper clutch’

Ciri elektronik: 5 mod tunggangan, HSTC, ABS 2 channel, Traction Control

Harga: Dari RM56,800 tanpa insurans dan kos pendaftaran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×