Korea Utara nekad perkukuh pembangunan nuklear

Korea Utara nekad perkukuh pembangunan nuklear

GAMBAR dikeluarkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) menunjukkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un (tengah) sedang memeriksa tapak pengeluaran bahan nuklear dan makmal senjata nuklear, di lokasi yang tidak didedahkan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengkritik kerjasama ketenteraan tiga hala antara Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Korea Selatan yang disifatkan sebagai punca peningkatan ketegangan di rantau Asia Timur.

Susulan itu, Jong Un berikrar akan mengambil langkah balas, termasuk memperkukuhkan pembangunan nuklear negara itu, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Beliau berkata, penempatan aset strategik nuklear oleh AS, latihan perang serta kerjasama rapat Washington, Tokyo dan Seoul, mewujudkan ketidakseimbangan ketenteraan, sekali gus mengancam keselamatan di rantau itu.

“Korea Utara tidak mahu ketegangan yang tidak perlu di rantau ini, tetapi akan mengambil langkah balas berterusan untuk memastikan keseimbangan ketenteraan serantau,” katanya ketika melawat Kementerian Pertahanan negara sempena ulang tahun penubuhan Tentera Daratnya, kelmarin.

Kenyataan tegas Jong Un dibuat sehari selepas pertemuan antara Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba pada 7 Februari lalu, di mana kedua-dua pemimpin menyuarakan kebimbangan terhadap program nuklear Pyongyang.

Namun, Kim dalam lawatannya itu sekali lagi menegaskan dasar tidak berbelah bahagi untuk terus mempertingkatkan kekuatan nuklear negaranya, lapor KCNA.

Sementara itu, Kim turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Pyongyang kepada Russia dalam konflik dengan Ukraine.

“Angkatan tentera dan rakyat DPRK akan sentiasa menyokong perjuangan adil tentera dan rakyat Russia dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan, dan integriti wilayah mereka, selaras dengan semangat perjanjian perkongsian strategik menyeluruh antara DPRK dan Moscow,” katanya.

Bulan lalu, Seoul mendakwa Korea Utara sedang bersiap sedia untuk menghantar lebih banyak tentera ke Russia, selain kira-kira 11,000 askar yang dikerahkan sejak tiga tahun lalu untuk membantu peperangan tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×