RUANG dan peluang boleh diberikan kepada semua warga universiti awam khususnya dalam kalangan ahli akademik untuk memilih mana-mana individu yang difikirkan sesuai untuk menjadi naib canselor atau rektor universiti mereka sendiri melalui proses undian.
Jawatan naib canselor atau rektor adalah satu jawatan yang paling penting sekali untuk sesebuah universiti kerana mereka yang akan menentukan perjalanan dan hala tuju sesebuah universiti yang terajui oleh mereka. Individu yang dilantik ke jawatan ini perlu terdiri daripada individu yang benar-benar sesuai, layak dan memiliki tahap kesungguhan untuk membawa universiti yang diterajui oleh mereka ke arah kecemerlangan.
Tidak mudah untuk memikul jawatan tertinggi dalam sesebuah universiti ini, seseorang itu perlu dipilih dari kalangan individu yang berkemahiran, berpengalaman dan memiliki kepercayaan yang tinggi dari kalangan warga universiti yang dikemudikan oleh mereka.
Berdasarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 [Akta 30], seseorang naib canselor hendaklah menjadi ketua pegawai eksekutif dan bertanggungjawab bagi keseluruhan fungsi pentadbiran, akademik dan pengurusan serta hal ehwal universiti. Bagi memastikan individu yang dipilih ke jawatan penting ini adalah benar-benar sesuai dan menerima kepercayaan penuh dari semua warga universiti, ruang dan peluang perlu diberikan kepada setiap warga universiti yang terlibat untuk melakukan proses pengundian bagi memilih mana-mana individu yang difikirkan sesuai untuk menerajui universiti mereka.
Warga universiti lebih mengetahui individu yang sesuai untuk menjadi pemimpin mereka. Mana-mana individu yang berkelayakan dalam universiti yang terlibat boleh menawarkan diri mereka sebagai calon naib canselor atau rektor, kemudian proses debat boleh dilakukan antara calon-calon yang telah menawarkan diri mereka untuk bertanding bagi memudahkan pengundi mengenalpasti mana-mana calon yang sesuai untuk diberi undi kelak.
Setiap warga universiti boleh memberi undi mereka terhadap mana-mana calon yang mereka ingini pada tarikh undian yang telah ditetapkan. Dengan adanya proses undian ini, ia dapat memastikan individu yang dipilih menjalankan segala tugas dan amanah yang telah diberikan kepada mereka dengan lebih baik. Individu yang dipilih melalui kaedah undian ini juga akan lebih dihormati oleh setiap warga universiti mereka sendiri kerana kuasa yang telah diberikan kepada mereka datang terus dari warga universiti yang telah memilih mereka melalui proses undian.
Melalui kaedah undian ini juga, proses demokrasi dapat disemai dalam kampus dengan lebih baik lagi sekaligus dapat meningkatkan tahap keyakinan orang ramai terhadap universiti itu sendiri serta kualiti produk yang dihasilkan oleh universiti berkenaan.
Dengan adanya proses undian ini juga, ia juga dapat meningkatkan lagi tahap kualiti sektor pendidikan peringkat tinggi yang ada dalam negara kita.
Cadangan proses pengundian terhadap jawatan naib canselor dan rektor universiti ini juga perlu dilakukan terhadap jawatan timbalan mereka sekali. Setiap cadangan yang dikemukakan ada kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri.
Oleh itu, pihak kerajaan boleh mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan ini dengan lebih teliti. – UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










