ATHENS: Pihak berkuasa perlindungan awam Greece mengisytiharkan darurat di Santorini ketika pakar bencana alam menyuarakan kebimbangan mengenai aktiviti seismik intensif yang masih menggoncang pulau itu.
Langkah darurat tersebut diumumkan oleh dewan bandar pulau itu beberapa jam selepas ahli seismologi merekodkan gempa bumi dengan magnitud 5.2 semalam.
Gegaran itu merupakan yang paling kuat dirasakan di Santorini sejak gelombang pertama kira-kira 7,700 gempa bumi direkodkan minggu lalu.
“Di bawah pengisytiharan ini, tentera akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam pengurusan krisis dan langkah-langkah tersebut akan berkuat kuasa sehingga 3 Mac ketika sambutan permulaan musim Pra-Paskah bagi penganut Kristian.
“Ia adalah sesuatu yang diperlukan untuk menangani keadaan ini dan kami telah meminta supaya ia dikuatkuasakan,” kata Datuk Bandar Santorini, Nikos Zorzos.
Pakar memberi amaran fenomena geologi luar biasa itu mungkin berlarutan selama beberapa minggu lagi.
Penduduk tempatan yang keletihan terus meninggalkan pulau tersebut, dengan ramai yang menyamakannya sebagai ‘pemindahan besar-besaran yang tidak rasmi’.
Lebih 12,000 orang melarikan diri menggunakan bot dan kapal terbang sejak gegaran semakin kuat pada hujung minggu lalu, dengan hanya segelintir pelancong yang masih berada di pulau itu.-AGENSI











