GAZA: Pihak berkuasa tempatan amaran tentang kemungkinan bencana kemanusiaan di Gaza City selepas khemah-khemah pelarian dipenuhi air hujan dan kumbahan, di tengah-tengah kemusnahan besar akibat perang genosid Israel.
Jurucakap Perbandaran Gaza, Hosni Muhanna berkata, ribut kuat yang melanda wilayah itu sejak beberapa hari lalu memburukkan lagi penderitaan pelarian di kem dan tempat perlindungan.
KEM PELARIAN BANJIR
“Air hujan dan air kumbahan membanjiri kem perlindungan dan angin kuat akibat ribut yang melanda menyebabkan puluhan khemah diterbangkan angin.
“Bandar ini menghadapi bencana kemanusiaan yang kritikal akibat kerosakan teruk pada infrastruktur serta kekurangan sumber dan peralatan yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan asas,” katanya.
Hosni berkata, lapan stesen pam kumbahan, tiga kolam takungan air hujan dan lebih 175,000 meter rangkaian kumbahan telah dimusnahkan oleh perang Israel di Gaza.
“Keadan ini telah menyebabkan limpahan kumbahan di beberapa kawasan yang membanjiri jalan dan bercampur dengan air hujan di kolam takungan,” tambahnya.
Tambahnya, krisis bekalan elektrik dan bahan api yang berterusan semakin merumitkan keadaan di Gaza, menyebabkan pihak berkuasa tempatan tidak dapat menangani masalah banjir.
Menurut angka yang dikeluarkan oleh pejabat media kerajaan Gaza, serangan Israel telah memusnahkan hampir 88 peratus infrastruktur di wilayah itu, termasuk rumah, kemudahan penting dan perkhidmatan awam.
Pada 19 Januari lalu, gencatan senjata dikuatkuasakan di Gaza, menghentikan perang genosid Israel yang telah membunuh lebih daripada 47,500 orang dan meninggalkan wilayah itu dalam kehancuran.
WFP RAYU BANTUAN
Program Makanan Dunia (WFP) menyeru tindakan segera untuk membina semula Gaza dan meningkatkan sokongan antarabangsa bagi memperkukuh bantuan kemanusiaan.
Timbalan Pengarah Eksekutif WFP, Carl Skau merayu supaya sokongan antarabangsa dipertingkatkan untuk memperluaskan bantuan kemanusiaan kepada berjuta-juta penduduk Gaza yang sedang berusaha membina semula kehidupan mereka.
Beliau berkata, WFP telah menghantar lebih daripada 15,000 tan makanan sejak gencatan senjata bermula pada 19 Januari.
Tetapi jumlah tersebut masih tidak mencukupi untuk menampung lebih 2.3 juta pelarian di wilayah itu.
“Ini adalah langkah besar ke arah usaha memulihkan Gaza tetapi bantuan yang diterima masih belum mencukupi.
“Keperluan adalah sangat besar dan kemajuan mesti diteruskan. Gencatan senjata mesti dikekalkan. Kita tidak boleh kembali kepada keadaan sebelum ini,” kata Skau dalam satu kenyataan selepas lawatan dua harinya ke Gaza.
Walaupun masih terlalu awal untuk memberi tumpuan kepada pemulihan sepenuhnya, Skau menekankan usaha penting yang perlu dilakukan WFP dan seluruh komuniti kemanusiaan bagi membantu penduduk Gaza menjadi lebih berdikari.
Jelasnya, badan itu juga sedang berusaha memperkukuh daya tahan mereka terhadap kebuluran dalam jangka panjang.
“Penduduk Gaza sangat luar biasa dari segi ketahanan, kekuatan dan keupayaan mereka berdepan peperangan kejam ini.
“Bantuan antarabangsa perlu lebih tertumpu kepada usaha menyokong mereka dalam langkah pertama ke arah membina semula kehidupan mereka, yang memerlukan dana besar.
“Kami menyeru komuniti antarabangsa dan semua penderma untuk terus menyokong bantuan kecemasan WFP pada saat genting ini,” katanya.
Beliau turut merayu bantuan dana dan kerjasama global bagi menyediakan kemudahan sektor kritikal seperti air, sanitasi, tempat tinggal serta usaha membawa kanak-kanak kembali ke sekolah.
“Membantu penduduk Gaza menjadi lebih berdikari boleh dilakukan dengan menghidupkan semula pasaran komersial dan sistem makanan tempatan seperti pertanian dan perikanan,” tambahnya.-AGENSI











